Isu kalimah Allah: Kabinet persembah cadangan kepada Majlis Raja-Raja

Kuala Lumpur: Jemaah Menteri telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, ia turut membabitkan cadangan memperkukuh perpaduan dan keharmonian antara kaum dan agama di Malaysia.

Perkara itu antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland Lawrence Bill berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.

Anwar berkata, Jemaah Menteri mengambil maklum bahawa keputusan menarik balik rayuan hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan mahkamah pada 2014.

“Kerajaan menghormati, memperakui dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Feb 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah.

“Kerajaan akan senantiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai,” kata beliau dalam kenyataan.

Pada 15 Mei lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.

Jill Ireland memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, serta perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker