Pasar terapung bakal jadi tarikan baharu di Melaka

MELAKA: Pasar terapung akan diwujudkan untuk menjadi tarikan baharu di negeri ini sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Murad Husin, berkata pembangunan projek di Sungai Melaka fasa dua bersama pemaju itu membabitkan kawasan sekitar Taman Lagenda dan dijangka beroperasi tahun depan.

Beliau berkata, ini antara usaha dilakukan pihaknya untuk mempelbagaikan lagi produk pelancongan di Melaka.



“Kita cuba ambil pendekatan berbeza berbanding pasar terapung yang terdapat di tempat lain dengan menjual produk Melaka khususnya, selain makanan kering dan ia juga boleh diakses penumpang Melaka River Cruise (MRC) yang menelusuri sepanjang Sungai Melaka.

“Selain itu, PPSPM menyasarkan taman tema Taman Mini Sigua di Sungai Melaka fasa satu yang akan dibuka pada penghujung tahun ini untuk tarikan baharu pengunjung ke negeri ini,” katanya selepas perasmian pejabat baharu PPSPM dan Pelancaran Melaka Water Taxi sempena sambutan rumah terbuka Aidilfitri di sini malam kelmarin.

Majlis itu dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Sementara itu, Murad berkata, perkhidmatan teksi air juga dilihat mampu menjadi satu daripada alternatif kepada pelancong untuk bersiar-siar di sekitar Banda Hilir selepas kawasan pelancongan di situ akan dijadikan zon bebas kenderaan setiap Jumaat hingga Ahad yang dijangka dilaksanakan pada bulan depan.



Katanya, menerusi perkhidmatan itu yang sebelum ini dikenali dengan pakej bot loncat-loncat, pengunjung boleh mengakses ke mana-mana lokasi dengan 14 jeti yang terdapat di sepanjang Sungai Melaka fasa satu.

“Harga tiket ditawarkan berpatutan iaitu serendah RM1 hingga RM10 dan pengunjung boleh meletakkan kenderaan di mana-mana tempat parkir untuk menaiki teksi air ke destinasi mereka,” katanya.

Beliau berkata, setakat Isnin lalu, sebanyak 283,540 pengunjung direkodkan menaiki MRC menelusuri Sungai Melaka dan sasaran pengunjung pada tahun ini sebanyak 800,000 orang.

“Sasaran pengunjung pada tahun lalu 700,000 orang, namun pencapaian yang diperoleh melebihi jumlah ditetapkan iaitu 792,215 pengunjung dari dalam dan luar negara yang menaiki MRC,” katanya.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button