Guardiola puas belasah Real Madrid 4-0

Manchester, United Kingdom: Pep Guardiola berkata, barisan bintang istimewa Manchester City membuktikan kemampuan sebenar mereka selepas membelasah Real Madrid 4-0 untuk mara ke final Liga Juara-Juara (UCL) menentang Inter Milan.

Bernardo Silva menjaringkan dua gol pertama City di Stadium Etihad sebelum Manuel Akanji dan Julian Alvarez meledak dua lagi jaringan dalam aksi separuh akhir kedua awal pagi tadi.

Ia kemenangan amat bermakna kepada skuad Guardiola selepas mereka disingkirkan Real pada separuh akhir musim lalu.

Dalam perlawanan itu, City melepaskan dua gol lewat sebelum tewas pada masa tambahan, kekalahan yang didakwa Guardiola akibat kekurangan karakter dalam kalangan pemainnya.

Pengurus City itu percaya kemenangan besar ke atas juara bertahan Real menepis sebarang keraguan ke atas skuadnya.

“Saya dapat rasa kesakitan kami alami sejak setahun lalu dan apa yang berlaku musim lalu disingkir keluar hari ini,” katanya.

“Sangat derita musim lalu apabila orang berkata pemain ini kurang karakter dan dalam masa setahun kami tunjukkan betapa istimewanya kumpulan pemain ini.

“Saya ucap tahniah kepada semua organisasi kami, pengerusi, pemilik, sehinggalah orang terakhir kerana mereka bekerja dengan tujuan sebenar dan kami kini berada di sana!”

Kemenangan agregat 5-1 City membolehkan pendahulu Liga Perdana (EPL) itu di ambang mencipta musim menakjubkan.

Mereka boleh mengesahkan gelaran liga jika menewaskan Chelsea Ahad ini, berdepan Manchester United pada final Piala FA (3 Jun) dan menuju ke Istanbul menentang Inter dalam misi menjuarai Liga Juara-Juara buat kali pertama.

“Apabila anda mara ke final UCL, anda wajar meraikannya tetapi malangnya kami tiada masa untuk itu kerana pada Ahad ini kami berpeluang menjuarai Liga Perdana,” kata Guardiola.

“Final menentang pasukan Itali bukanlah hadiah terbaik, mereka sangat kompetitif dan kami perlu persiapkan ketahanan mental.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker