Penggunaan air di Johor meningkat 50 juta liter sehari

Johor Bahru: Penggunaan air di negeri ini dikesan meningkat 50 juta liter air sehari (MLB) susulan cuaca panas melampau yang berlaku sejak bulan lalu.

Pengarah Operasi Ranhill SAJ Sdn Bhd, Anuar Abdul Ghani, berkata ia berlaku selepas Aidilfitri lalu.

“Menerusi perincian Ranhill SAJ, penggunaan air di negeri ini meningkat kepada 1,050 MLB sehari. Ia berbanding hanya 1,000 MLB sehari ini, sebelum ini.



“Peningkatan penggunaan air dikesan berlaku terutamanya di daerah Johor Bahru, yang merekodkan peningkatan ketara.

“Purata penggunaan air di negeri ini adalah 2,200 MLB sebulan, dengan Johor Bahru menggunakan hampir separuh daripada keseluruhan bekalan air berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ranhill SAJ, di sini, hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dilaporkan menyenaraikan lapan negeri yang mudah dipengaruhi fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca kering dan panas melampau berdasarkan pengalaman kejadian El-Nino tahun 2015-2016.



Negeri terbabit adalah Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

SPAN berkata menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, kebarangkalian berlakunya El-Nino adalah sekitar 57 peratus pada bulan Jun hingga September 2023 dan meningkat kepada 62 peratus pada September sehingga November 2023.

El-Nino berlaku akibat peningkatan suhu Lautan Pasifik secara mendadak, sekali gus akan mengakibatkan perubahan kepada sistem iklim, terutamanya peningkatan suhu di permukaan dan pengurangan jumlah taburan hujan di Malaysia.

Mengulas mengenai bekalan air di terutama paras empangan di negeri ini, Anuar berkata semua 14 empangan di negeri ini berada dalam keadaan normal dan beroperasi seperti biasa.



Katanya, setakat ini masih tiada mana-mana empangan di Johor merekodkan penurunan paras air walaupun cuaca panas melampau ketika ini.

“Secara keseluruhannya semua 14 empangan, loji rawatan air (LRA) dan intake sungai di Johor masih beroperasi dalam keadaan normal dan seperti biasa.

“Malah tiga empangan di Johor iaitu Juaseh, Ledang dan Linggiu pula merekodkan paras air lebih daripada normal dengan berlaku limpahan air berikutan hujan beberapa hari lalu,” katanya.

Bagaimanapun Anuar berkata, Ranhill SAJ tetap menyediakan pelan mitigasi dan kecemasan jika berlaku situasi luar jangka termasuk perubahan cuaca panas yang lebih ekstrim.



“Ini kerana Monsun Barat Daya hanya akan berakhir September ini dan apa juga kemungkinan boleh berlaku.

“Jika keadaan semakin buruk dan pelaksanaan bekalan air berjadual perlu dibuat, SAJ perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Bekalan Air Negara (SPAN) untuk membolehkan pelaksanaan itu dibuat.

“Perlu diingat bekalan air berjadual atau catuan bekalan air bukan dilaksanakan ketika paras empangan sudah turun, namun ia ada pengiraan khas termasuk anggaran sama ada bekalan air akan terjejas dalam tempoh sebulan, maka ia perlu dilaksanakan bagi memastikan bekalan air tidak terjejas,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button