Petisyen minta Coldplay tambah malam kedua konsert

KUALA LUMPUR: Satu petisyen memohon kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay menambah satu malam lagi konsert siri jelajah, Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) kini sedang gigih dijalankan.

Petisyen diwujudkan oleh Iman Tang menerusi laman Instagram (IG) sebaik tiket Coldplay licin dijual mendapat maklum balas peminat kumpulan yang terkenal menerusi lagu Yellow itu.

Hasil tinjauan dalam Instagram Stories (IGs), petisyen itu berjaya mengumpul lebih 4,000 tanda tangan dalam tempoh yang singkat.



Nyata peminat setia kumpulan dianggotai Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion masih mengharapkan kumpulan itu bersetuju menambah malam kedua seperti berlaku di Taiwan dan Australia.

Ini kerana sejak sistem jualan tiket dalam talian dibuka, dipercayai 700,000 peminat beratur menantikan giliran membeli tiket.

Namun, ramai hampa apabila tiket sebanyak 80,000 habis dijual dalam tempoh tiga jam, hari ini.



Justeru, peminat yang gagal mendapatkan tiket berharap petisyen itu dapat membuka hati kumpulan rock terkenal itu menambah persembahan satu malam lagi.

Hari ini, menyaksikan tiket konsert Coldplay di Stadium Bukit Jalil pada 22 November depan ‘licin’ dalam tempoh tiga jam selepas dibuka kepada orang awam sejak 10 pagi ini.

Semalam, laman web rasmi GoLive-Asia memaklumkan, tiket konsert Coldplay dalam talian mencatat sejarah apabila memecah rekod lebih 400,000 peminat berbaris secara maya untuk mendapatkan tiket.

Tiket dikhususkan buat pemegang kad CIMB itu habis terjual dalam tempoh singkat, semalam.



Sejak Coldplay mengumumkan Malaysia menjadi sebahagian negara persinggahan untuk menjayakan konsert jelajah dunia, rata-rata peminat tempatan berkongsi kegembiraan dan keterujaan mahu mendapatkan tiket.

Selain Malaysia yang menjadi pilihan, Coldplay yang memulakan siri jelajah sejak Mac tahun lalu, juga dijangka beraksi di beberapa negara lain iaitu Jepun pada 6 dan 7 November, disusuli Taiwan (11 November); Indonesia (15 November) dan Australia (18 November).

Band yang terkenal dengan rangkaian lagu popular Paradise, The Scientist, Fix You dan Yellow, My Universe, Hymn for the Weekend, Viva La Vida, kini sedang berkunjung ke beberapa negara Sepanyol, UK, Itali, Denmark, Belanda dan Amerika Syarikat (AS) sehingga Oktober sebelum meneruskan siri jelajah di Asia dan Australia.

Harga tiket dijual antara RM228 ke RM3,088, namun terdapat juga harga lain iaitu RM2,108 sehingga RM1,258.



Pemegang tiket ini akan diberikan pengalaman lawatan ke belakang pentas melalui pintu masuk khusus, diberikan barang eksklusif dan hadiah direka khas.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button