Herrynizam mengaku naik pesawat ditaja individu dari Jeddah

Kuala Lumpur: Lelaki orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri yang melakukan misi berjalan secara solo untuk menunaikan haji sudah tiba di Makkah hari ini.

Mengikut perancangan awal, Herrynizam Saleh, 42, sepatutnya berjalan dari Bidor, Perak, ke Makkah, bagaimanapun perjalanannya dipermudahkan Allah SWT apabila dia ditaja tiket penerbangan oleh seorang individu dari Jeddah.

Terdahulu, Herrynizam berjalan hingga ke Bangkok, Thailand sebelum menaiki pesawat dari Bangkok serta transit di Manila, Filipina untuk ke Dubai.

Video keberadaan Herrynizam di Tanah Suci Makkah dikongsikan seseorang pengguna TikTok @JalilRazak menerusi hantaran video yang menunjukkan lelaki OKU itu dilihat solat dan berdoa di hadapan Kaabah dengan berpakaian ihram.

“Assalamualaikum. Untuk pengetahuan korang (semua), abang yang jalan daripada Malaysia ke Makkah itu dah sampai dah. Meh aku tunjuk (rakaman video memaparkan Herrynizam).

“Video ini aku buat betul-betul di depan Kaabah dan aku harap korang (semua) percayakan aku. insya-Allah aku akan jaga abang ini sebaik mungkin. Okay bye,” kata pengguna TikTok menggunakan nama JalilRazak dalam video dimuatnaik itu.

 

 

@herrynizam4 @JalilRazak ♬ original sound – Herrynizamshop

 

Terdahulu dalam hantaran video berasingan memaparkan pemandangan awan dari dalam pesawat, Herrynizam yang menggunakan nama @herrynizam4 di akaun TikToknya menjelaskan penerbangannya ke Jeddah ditaja.

“Assalamualaikum semua. Saya sekarang ini berada di Dubai. Iya nak jalan, tetapi orang dari Jeddah taja tiket sampai ke Jeddah. Jadi saya kena terima. Ini semuanya datang dari Allah SWT bukan kehendak saya,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Herrynizam memaklumkan akan merentas 12 negara melalui jalan darat bermula dengan Thailand sehingga ke Arab Saudi.

Namun, Herrynizam mengakui pernah menumpang kenderaan dalam misinya itu, dan menjelaskan individu berkenaan adalah lelaki warga Thailand ketika dia berada di Songkla menuju ke Bangkok.

Kisahnya mendapat perhatian warganet apabila lelaki OKU itu memulakan perjalanannya dari Bidor, Perak.

Berdasarkan peta perjalanan di aplikasi Google Map, Herrynizam sepatutnya menempuh perjalanan lebih 10,000 km untuk tiba ke Makkah.

Berdasarkan peta itu juga, dia memerlukan masa selama 84 hari dan 10 jam bagi melengkapkan perjalanannya.

Media sebelum ini melaporkan, misi sama pernah dilakukan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh 6,500 km dengan berjalan dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Makkah.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker