Hina Agong, penjual daging dihantar ke Hospital Bahagia

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mengarahkan seorang penjual daging dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, untuk menjalani rawatan psikiatri selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat hantaran jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah Akta 593 berikutan tertuduh, Sharil Mohd Sarif, 40, mendakwa ada masalah mental.

Mengikut pertuduhan, Sharil menggunakan profil Twitter ‘SharilSarif39’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik membabitkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.



Kesalahan dilakukan pada jam 5.28 dan 5.30 pagi, 12 Mac lalu, yang kemudian dibaca di pejabat

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman pada jam 8.22 malam, keesokannya.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.

Ia memperuntukkan denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.



Terdahulu, Sharil yang tidak diwakili peguam mendakwa ada mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital

Sungai Petani, Kedah sebelum ini.

“Kakak saya yang bawa saya ke hospital itu. Saya mengaku salah atas pertuduhan dan memang ada masalah mental,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal, berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pegawai penyiasat mengenai masalah mental tertuduh.



“Pegawai penyiasat hanya dimaklumkan secara lisan oleh lelaki berkenaan mengenai keadaan mentalnya yang tidak stabil,” katanya.

Kes itu ditetapkan pada 16 Jun ini untuk sebutan semula dan perkembangan rawatan berkenaan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button