Populariti Super Junior masih kekal kuat

Fenomena dan pengaruh besar Super Junior sehingga kini terus utuh kerana legasi ditinggalkan memang besar impaknya. Kumpulan naungan SM Entertainment itu terus ikonik namanya di persada dunia.

Biar berganti generasi artis dilahirkan di Korea Selatan, mereka tetap menduduki senarai atas paling digilai. Ditambah pula kelab peminatnya Elf yang berjuta di dunia, sokongan diterima tidak putus.

Namun kumpulan yang turut dikenali dengan gelaran SJ atau SuJu, ini juga tidak terlepas daripada getus hati berbaur kerisauan. Kerisauan seandainya pada usia kerjaya sekarang, sokongan semakin perlahan daripada peminat.

Tolak tepi kemahsyuran dan kekayaan yang dikecap, mereka masih bergantung dengan pendapatan mengadakan konsert. Ia termasuk menjayakan Super Junior Super Show 9: Road in Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menampilkan lapan anggotanya Donghae, Eunhyuk, Kyuhyun, Leeteuk, Ryeowook, Shindong, Siwon, dan Yesung, mereka sangat terharu dengan sokongan peminat di sini yang memenuhi Axiata Arena, Bukit Jalil.

“Apabila saya melihat ramalan cuaca pada hari ini yang sepatutnya hujan, saya sebenarnya agak risau. Saya takut ramai tak jadi datang untuk melihat persembahan kami.

“Tapi lihatlah yang hadir pada petang ini. Saya rasa sangat tersentuh dan benar-benar harap persembahan kami akan memberikan kenangan manis buat kamu semua,” kata Shindong.

Kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada 2019, emosi Super Junior turut terjentik dapat berkunjung kembali ke sini. Mana tidak, hampir tiga tahun dikekang pandemik Covid-19, pastinya mereka rindu Malaysia.

Menurut Leeteuk pula, mereka memang ternanti untuk kembali menghiburkan peminat di sini. Bahkan, keterujaan mereka lebih terasa apabila teringat banyak kenangan pernah dicipta di sini.

“Ia ibarat putaran roda emosi apabila dapat kembali ke sini. Melihat kamu semua, membuatkan kami lagi bersemangat untuk terus menghiburkan kamu dengan persembahan bertenaga.

“Sebenarnya kami berdepan situasi yang agak berat sebelum tampil membuat persembahan hari ini. Tapi ia terubat dengan tenaga yang kamu salurkan kepada kami,” katanya.

Yang pasti, kehadiran mereka kali ini memang tampak cukup rapi persediaannya. Mereka siap membawakan konsep persembahan yang jarang dipertonton kepada ramai dan pamer sisi berbeza.

Secara peribadi, penulis sangat tertarik dengan segmen ala ‘broadway’ yang cukup menghiburkan. Dengan kostum megah ala bangsawan Inggeris, pembawaan karakter mereka begitu mencuit hati.

Menyanyikan medley lagu Spy, Rokuko!, dan Mamacita pada segmen itu, ia dimulai klip sketsa mereka berlagak seperti dewa muzik. Lakonan dipamerkan sungguh kelakar dan bersahaja.

Sebaik muncul di pentas, kesemua mereka mempamerkan permainan suara ala nyanyian opera dengan begitu baik. Susunan muzik lagunya digubah begitu megah seiring dengan vokal yang cukup mengagumkan.

Tapi itulah Super Junior. Tidak sah kiranya jika tidak berhabisan mempamer kreativiti terbaik dalam setiap konsert mereka. Bukan sekadar membuat persembahan tapi menyuntik jiwa dan api kesungguhan dalam setiap aspek.

Menginjak usia 30-an, tidak dinafikan daripada segi stamina memang mereka kelihatan sedikit goyah. Terutama untuk lagu-lagu yang menuntut mereka pamer kelincahan tarian serta koreografi terlalu rancak.

Namun semua itu tidak menggugat pun prestasi keseluruhan persembahan mereka. Mereka tampak selesa sebagai penghibur sejati yang tidak perlu kesempurnaan tapi beri sepenuh jiwa.

Ditambah pula dengan jeritan tanpa henti lebih 10,000 penonton hadir, tiada sesaat pun Super Junior buat mereka bosan. Ada saja aksi mencuit hati yang mereka lakukan dengan selamba.

Sesuailah dengan penantian Elf di sini yang pastinya harapkan sebuah konsert megah. Hal itu nyata tertunai apabila konsert berdurasi hampir tiga jam itu menampilkan banyak lagu hit kegemaran ramai.

Sebanyak 30 lagu dipersembahkan mereka bermula dari jam 5 petang. Ia termasuk Burn The Floor, The Crown, Super, Mr. Simple, Ticky Tocky, Paradox, Mystery, 2ya2yao!, I Can’t, Believe, My Wish, Callin’, Latte, dan House Party.

Tidak ketinggalan, lagu Everybody, Wonder Boy, Let’s Dance, Devil, Mango, Bad, Danger, Black Suit, Sorry Sorry, dan Bonamana. Manakala lagu penutup adalah More Days With You, Walkin’, dan Happiness. Konsert terbabit dianjurkan Starplanet Malaysia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker