SPRM jejak aset dibeli guna duit PenjanaKerjaya

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan aset dibeli menggunakan dana kerajaan yang diperoleh melalui tuntutan palsu di bawah Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan (PenjanaKerjaya).

Ia berikutan ada pengarah dan pemilik syarikat yang dikesan menyeleweng wang rakyat itu dipercayai membelanjakan dana berkenaan untuk kepentingan diri, termasuk membeli aset dan barangan mewah lain.

Difahamkan, SPRM sudah mula menyemak pembelian mewah yang dikaitkan dengan tuntutan palsu dana berkenaan dan tindakan sita atau rampas akan diambil untuk siasatan lanjut.



Usaha terbabit adalah gerakan terbaru dalam Ops Hire 2.0, kesinambungan operasi bersepadu Ops Hire yang dilancarkan SPRM bersama Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), bermula Julai tahun lalu.

Ops Hire 2.0 membabitkan tindakan penguatkuasaan lebih luas meliputi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, berbanding Ops Hire sebelum ini yang hanya bertumpu di Semenanjung.

Setakat ini, seramai 63 individu, terdiri 45 lelaki dan 18 wanita sudah ditahan dengan nilai tuntutan palsu berkaitan program insentif pengambilan pekerja dan program latihan itu sehingga kini dilaporkan lebih RM63 juta

PenjanaKerjaya kendalian PERKESO yang dilancarkan pada Jun 2020 ialah program insentif pengambilan pekerja dan latihan untuk golongan perantis, mereka yang berumur bawah 40 tahun serta mereka dalam segmen usia 40 tahun dan ke atas.



Siasatan jejak wang hilang

Mengesahkan gerakan terbaru mengesan dan merampas aset diperoleh hasil penyelewengan dana berkenaan, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, berkata pihaknya ketika ini sedang dalam siasatan menjejak wang yang hilang.

“Kebanyakan individu ditahan menerima dan menggunakan dana berkenaan, ada kemungkinan beli aset atau harta bernilai tinggi. Jadi, SPRM sedang buat kiraan ke mana dana hasil tuntutan palsu itu digunakan.

“Contoh, jika ada suspek dikesan membeli aset seperti kereta mewah guna wang hasil penipuan itu, kita akan kesan dan sita (kereta mewah dibeli) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada BH, semalam.



Katanya, siasatan berkaitan penjejakan wang juga bagi mengesan akaun-akaun bank yang digunakan pemohon dalam tuntutan palsu dana PenjanaKerjaya.

“Dalam beberapa hari ini, SPRM sudah menyerahkan nota perintah kepada pihak bank untuk membantu siasatan kes,” katanya.

Mengenai modus operandi pihak yang membuat tuntutan palsu berkenaan, beliau berkata, antaranya ialah dengan ‘menggajikan’ ramai pekerja, semata-mata mahukan dana disediakan kerajaan itu.

“Ada syarikat kecil mendakwa mereka menggajikan sehingga empat atau lima pekerja dalam satu-satu masa, tetapi apabila semakan dibuat, tak ada pun, sebaliknya hanya untuk buat tuntutan dana,” katanya.



Beliau turut mengesahkan, empat lagi pengarah serta pemilik syarikat ditahan SPRM dalam ‘Ops Hire’ 2.0 dan direman semalam, termasuk seorang lelaki berusia 45 tahun di Selangor yang mengemukakan tuntutan palsu kira-kira RM370,000 sekitar 2020 sehingga 2021.

Terdahulu pada Selasa lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan ratusan lagi syarikat dikenal pasti terbabit dalam kes tuntutan palsu dana PenjanaKerjaya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkenaan tampil secara sukarela menyerahkan semula tuntutan yang dibuat bagi mengelak pertuduhan di mahkamah kerana SPRM tidak akan berdiam diri, sebaliknya akan meneruskan operasi bagi menahan semua yang terbabit.

Kelmarin, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dipetik berkata, lebih RM500 juta dana PenjanaKerjaya berjaya diselamatkan daripada disalah guna majikan melalui Ops Hire.



Dalam operasi Ops Hire sebelum ini, seramai 74 orang daripada 60 syarikat ditahan, membabitkan tuntutan palsu berjumlah RM88 juta sebelum 52 daripada mereka didakwa di mahkamah.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button