Bermodal air liur, sindiket penipuan ‘songlap’ lebih RM5 juta tahun lalu

KUANTAN: Hanya bermodalkan air liur, sindiket penipuan atau ‘scam’ memperdayakan seramai 658 mangsa di seluruh negeri ini dengan kerugian berjumlah lebih RM5 juta sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, nilai itu berkurangan berbanding RM8 juta membabitkan 726 mangsa pada 2017.

Ketua JSJK Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata empat kes penipuan yang sering berlaku di negeri ini adalah sindiket pinjaman tidak wujud, penipuan belian dalam talian (online), African scam dan Macau scam.



“Kes pinjaman tidak wujud menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 297 kes sepanjang tahun lalu berbanding hanya 152 kes pada 2017, namun jumlah kerugian berkurangan kepada RM419,008 daripada RM1.32 juta.

“Kes Macau scam meningkat pada tahun lalu sebanyak 135 kes dengan nilai kerugian RM2.57 juta berbanding hanya 112 kes (RM2.72 juta) pada 2017,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, kata Mohd Wazir, kes penipuan belian dalam talian menunjukkan penurunan ketara iaitu sebanyak 152 kes pada tahun lalu dengan kerugian RM1 juta berbanding 360 kes pada 2017 dengan kerugian RM1.47 juta.

“Kes African scam turut menunjukkan penurunan iaitu hanya sebanyak 74 kes dengan kerugian RM1.06 juta tahun lalu berbanding 102 kes pada 2017 dengan kerugian RM2.49 juta.



“African scam ini merangkumi beberapa kategori termasuklah Parcel scam, Love scam dan belian mata wang lama. Kebanyakan ahli sindiket ini biasanya berada di lokasi tertentu di Malaysia dan akan menghubungi mangsa secara rawak untuk melakukan penipuan,” katanya.

Beliau berkata, antara modus operandi yang biasa dilakukan adalah menyamar sebagai pegawai bank atau menawarkan hadiah loteri yang tidak wujud selain menawarkan hadiah mewah dari luar negara.

“Mereka ini juga bijak menyamar sebagai pegawai bank, polis dan pelbagai agensi penguatkuasa lain untuk memberi tekanan kepada mangsa terutamanya orang tua, melalui media sosial dan panggilan telefon supaya mangsa menyerahkan wang simpanan mereka.

“Ada juga sindiket yang menawarkan pinjaman tidak wujud dan memaksa mangsa membayar pelbagai bayaran untuk mendapatkan pinjaman berkenaan.



“Sindiket penipuan ini akan mengambil segala peluang ada untuk membuat penipuan bagi mendapatkan wang dengan cara yang mudah sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah ribuan ringgit kepada mangsa,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button