Malaysia menumpaskan Denmark 3-1

Kuala Lumpur: Skuad berpasukan campuran negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir Piala Sudirman 2023 selepas menumpaskan Denmark 3-1.

Menanti Malaysia di separuh akhir esok ialah Korea Selatan yang sebelum itu berjaya menyingkirkan Taiwan 3-1 dalam aksi sebelah pagi.

Malaysia memperoleh mata pertama melalui pemain beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bangkit daripada kekalahan set pembukaan untuk mengalahkan gandingan, Mathias Christiansen-Alexandra Boje, 15-21, 21-14, 21-17.

Walaupun tidak pernah bertemu sebelum ini dan ranking lebih rendah di tangga ke-22 berbanding lawan di tempat ke-18, semangat yang dipamerkan Tang Jie-Ee Wei berjaya memberikan mata semangat buat pasukan negara.

Aksi sengit yang dinantikan antara perseorangan lelaki utama kedua-dua negara, Lee Zii Jia dan Viktor Axelsen tidak kesampaian apabila Malaysia berjaya memperoleh mata mudah.

Ia disebabkan Axelsen terhincut-hincut ketika mendahului 4-3 di set pertama dan kelihatan memegang bahahagian bawah paha kiri.

Axelsen cuba untuk meneruskan permainan selepas mendapat rawatan namun terpaksa menarik diri ketika kedudukan terikat 4-4 dan perlawanan baru berlangsung lima minit.

Bagaimanapun, Denmark berjaya merapatkan jurang selepas perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei tumpas 14-21, 21-15, 19-21 kepada Mia Blichfeldt.

Hasrat Denmark untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang juga juara dunia berjaya menghadiahkan mata kemenangan buat Malaysia selepas menang 21-17, 21-16 ke atas Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Menurut Ee Wei, walaupun berjaya mencatat kemenangan dia sebelum itu memikirkan aksi bertemu Christiansen-Alexandra bakal melalui kesukaran, tambahan pula perlu menghadiahkan mata sulung buat negara.

“Kita menerima cabaran itu dan berjaya melaluinya. Saya sangat gembira berjaya bertarung di dalam gelanggang untuk mendapatkan mata,” katanya.

Ditanya apakah kunci kebangkitan di set kedua, Ee Wei berkata, jurulatih menasihatkan mereka agar lebih tenang di dalam gelanggang dan jangan terlalu banyak berfikir.

Sementara itu, Zii Jia mengakui terkejut dengan apa yang menimpa Axelsen tatkala ramai yang menantikan perlawanan sengit antara kedua-dua pemain.

“Saya masih terkejut. Apapun harap kecederaan Axelsen itu serius dan dapat pulih dalam masa singkat. Saya harap yang baik saja untuknya,” kata Zii Jia.

“Kami ada cakap sedikit mengenai kecederaan yang dia tak boleh main. Saya rasa, saya tak perasan pun kerana saya fokus 100 peratus untuk perlawanan ini dan saya tak sangka pengakhiran yang seperti ini,” katanya.

Dalam satu lagi separuh akhir bakal menyaksikan Jepun yang mengalahkan Thailand 3-2, akan menentang penyandang juara, China.

China mara ke separuh akhir selepas mengalahkan Indonesia 3-0.

Suku Akhir

Malaysia 3 1 Denmark

Korea Selatan 3 1 Taiwan

Jepun 3 2 Thailand

China 3 0 Indonesia

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker