China juara hatrik Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Tembok Besar China nyata sukar untuk dirobohkan selepas negara itu muncul juara Piala Sudirman buat kali ketiga berturut-turut dan ke-13 secara keseluruhannya, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas China mengatasi Korea Selatan 3-0 pada aksi final yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik di Suzhou.

Mata pertama China disumbangkan beregu campuran, Zheng Siwei-Huang Ya Qiong yang bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan gandingan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 18-21, 22-20, 21-8.

Naib juara dunia 2018, Shi Yu Qi meletakkan China selesa di depan 2-0 menerusi kemenangan ke atas Lee Yun Gyuc 21-13, 21-17 dalam acara perseorangan lelaki.

Pemain perseorangan wanita, Chen Yu Fei menoktahkan kemenangan China apabila menyumbang mata ketiga selepas membenam cabaran pemain nombor dua dunia, An Se Young 21-16, 22-20.

Sejak diperkenalkan pada 1989, hanya tiga negara berjaya muncul juara dalam kejohanan berpasukan campuran itu iaitu China, Korea dan Indonesia.

Indonesia menjuarai edisi pertama manakala Korea empat kali muncul juara pada 1991, 1993, 2003 dan 2017 dengan selebihnya menyaksikan penguasaan China dalam kejohanan yang berlangsung dua tahun sekali itu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker