City berpesta di Stadium Etihad

LONDON: Manchester City meraikan kejayaan merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea sebelum Ilkay Gundogan menjulang trofi di hadapan penyokong mereka di Stadium Etihad, malam tadi.

City dinobatkan sebagai juara liga buat kali kelima dalam tempoh enam musim selepas penghuni tangga kedua, Arsenal tewas 0-1 di tangan Nottingham Forest, kelmarin.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu merekodkan kejuaraan ketiga berturut-turut dengan memenangi perlawanan liga ke-12 berturut-turut apabila gol babak pertama Julian Alvarez melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam semua pertandingan kepada 24 perlawanan.

Rekod cemerlang City itu telah menyebabkan Arsenal ketinggalan, dengan The Gunners gagal menamatkan dominasi City biarpun mendahului carta liga untuk sebahagian besar saingan musim ini.

“Semua gelaran Liga Perdana adalah istimewa. Ia sentiasa sukar untuk memenanginya,” kata Guardiola.

“Kami perlu memberi tekanan kepada Arsenal dan menunggu jika mereka keciciran mata. Mereka akhirnya keciciran mata dan kami berada di sana.

“Anda tidak pernah tahu bagaimana kami akan memberi reaksi balas tetapi pasukan ini sangat cemerlang.”

Sambutan peminat bermula sebaik bas pasukan City tiba di Stadium Etihad dengan penyokong mengibarkan bendera sambil menyalakan suar berwarna biru bagi meraikan pasukan kesayangan mereka.

City, tujuh mata di depan Arsenal dengan baki dua perlawanan, akan mengukuhkan status mereka sebagai salah satu pasukan terhebat dalam bola sepak Inggeris jika mereka menjulang trofi Piala FA dan Liga Juara-Juara.

Anak buah Guardiola akan menentang Manchester United dalam aksi final Piala FA di Stadium Wembley pada 3 Jun ini sebelum bertemu Inter Milan di Istanbul tujuh hari kemudian dalam misi merangkul gelaran Liga Juara-Juara buat kali pertama.

United adalah kelab Inggeris terakhir memenangi gelaran treble pada 1999 dan City berpeluang untuk menyamai pencapaian musuh tradisi mereka itu jika berjaya melakukannya musim ini.

“Anda perlu memenangi Liga Juara-Juara untuk dianggap sebagai salah satu pasukan terbaik tetapi adalah tidak adil sekiranya anda tidak memenanginya gelaran Liga Perdana seperti tidak masuk akal,” kata Guardiola.

“Sudah tentu ia masuk akal, sudah tentu ia penting. Ia setiap hari, setiap minggu. Kelab ini memenangi lima daripada enam perlawanan terakhir. Ia adalah sesuatu yang menakjubkan.”

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker