Tawar khidmat pergigian selepas seminggu belajar

Melaka: Seorang gadis yang juga pemilik bersama sebuah pusat kecantikan yang disyaki menjalankan kegiatan pergigian haram ‘naik minyak’ apabila beberapa kali meninggikan suara ketika diambil keterangan oleh pegawai perubatan, selepas premis terbabit di Malim, di sini, diserbu pihak berkuasa, petang semalam.

Pada awalnya, dia mengatakan mempunyai sijil dan kelayakan yang membolehkan dirinya menjalankan perkhidmatan itu kerana pada 2018 dia ada mengikuti kursus di Johor, sebelum ke China.

Bagaimanapun, tembelang gadis berusia 23 tahun itu terbongkar selepas mengatakan dia hanya mengikuti kursus selama seminggu sebelum mengambil keputusan menyediakan perkhidmatan antaranya veneer gigi, memasang pendakap gigi dan pemutihan gigi.

Dakwanya lagi, dia tidak meragui sijil yang dimiliki kerana menerima maklum balas yang baik, malah pelanggan yang pernah mendapat khidmatnya juga turut mempromosikan kepada rakan mereka yang lain.



Sementara itu, Pegawai Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Rosnah Atan berkata, kegiatan premis itu dikesan pihaknya hasil daripada aduan awam sebelum risikan dijalankan pihaknya selama kira-kira sebulan.

Beliau berkata, dalam serbuan menerusi operasi khas kira-kira jam 2 petang Rabu lalu, siasatan di dalam premis terbabit menemui barangan dan peralatan pergigian yang disyaki dijalankan secara haram.

“Hasil risikan, premis itu dipercayai beroperasi kira-kira dua tahun lalu dan daripada risikan dia melakukan janji temu melalui Instagram dan kos untuk pemasangan pendakap gigi ditawarkan antara RM1,200 hingga RM1,500.

“Barangan dan peralatan pergigian yang dirampas itu sepatutnya hanya boleh diguna dan dikendalikan oleh doktor bertauliah sahaja,” katanya.



Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 62 dan Akta 804 Akta Pergigian 2018 di mana amalan pergigian dilakukan oleh orang yang tidak berdaftar.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker