PGA rampas rokok, arak bernilai lebih RM100,000

MUAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Bakri merampas rokok dan arak bernilai lebih RM100,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Seri Menanti, Parit Jawa, di sini, semalam.

Sindiket itu dikatakan baru sebulan terbabit dalam aktiviti penyeludupan dan menjadikan rumah sebagai stor menyimpan barang diseludup dipercayai dari negara jiran sebelum dipasarkan di sekitar daerah ini.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kegiatan itu terbongkar hasil intipan serta maklumat awam sekali gus membawa kepada serbuan pada jam 12.10 tengah malam.

Raiz Mukhliz berkata, dalam serbuan itu polis turut menahan lelaki berusia 56 tahun yang disyaki dalang kepada sindiket terbabit.

“Suspek baru seminggu bekerja dengan sindiket itu ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok dan arak tanpa cukai.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 1,631 karton rokok dan 72 botol arak dengan nilai rampasan keseluruhan ialah RM103,514. Serbuan turut dibantu pasukan petugas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

“Siasatan mendapati, suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan beberapa kesalahan sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi.

Raiz Mukhliz berkata, suspek boleh dikenakan hukuman denda 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker