SPA terima hampir 2 juta permohonan namun pengambilan hanya 26 ribu sahaja

Putrajaya: Seramai 1,960,261 calon memohon sebagai penjawat awam direkodkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) sepanjang 2022 sehingga 11 Mei lalu, namun jumlah pengambilan hanya membabitkan 26,436 jawatan.

Pengerusinya Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, jumlah itu membabitkan 1,279,494 permohonan bagi 2022 berbanding jumlah yang berjaya dilantik hanya 20,762 orang manakala pada tahun ini pula sejumlah 680,767 permohonan dengan sebanyak 5,674 calon berjaya memperoleh jawatan.

Beliau berkata, daripada jumlah permohonan itu, lebih 70 peratus adalah kalangan Melayu manakala Cina 1.2 peratus dan India 3.1 peratus.

“Jumlah lantikan tetap yang diambil meningkat sejak 2020 iaitu sebanyak 15,518 orang dan pada 2021 sebanyak 15,755 orang manakala jumlah lantikan kontrak bagi Pegawai Perubatan, Pergigian, Farmasi dan Jawatan Separa Perubatan adalah sebanyak 9,952 (2020), 8,750 (2021) dan 16,878 (2022).

“Bagi lantikan kontrak jawatan lain pula sebanyak 4,600 jawatan diisi bagi 2020, 16,472 (2021) dan 10,285 (2022),” katanya pada Majlis SPA bersama Media, di sini, semalam.

Zainal Rahim berkata, sistem digitalisasi yang dibangunkan SPA untuk setiap peringkat proses pengambilan jawatan menepis persepsi awam tentang wujudnya penggunaan ‘kabel’ atau campur tangan orang dalam untuk mengisi jawatan kerajaan.

Beliau berkata, SPA sudah mengaplikasikan digitalisasi sepenuhnya bagi sistem permohonan dalam talian iaitu SPA9 yang mewajibkan semua proses permohonan melalui tiga peringkat penilaian sebelum dipanggil bagi temuduga.

Katanya, bagi peringkat sesi temuduga, SPA menetapkan dua anggota panel dilantik sama ada dalam kalangan SPA sendiri atau jabatan dengan mensyaratkan panel itu wajib melalui tapisan integriti dan menandatangani akujanji sekali gus menutup ruang yang dipercayai boleh menggunakan orang dalam.

“Banyak kita terima yang secara sinis mengatakan mereka yang dapat pekerjaan itu mesti ada kabel, maknanya ada kawan-kawan atau ada saudara di SPA, kita tak praktis perkara itu.

“Sejak wujudnya SPA9 dan aplikasi sebelumnya apabila kita memperkenalkan sistem digital, semua orang bebas untuk memohon dan mematuhi syarat dan yang meluluskan adalah secara automatik melalui sistem sehingga peringkat temuduga.

“Semua pihak di SPA membuat akujanji tidak ada kabel seumpama ini,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker