AKSB perlu jawab tular ahli lembaga pengarah dapat sagu hati raya RM10,000

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan kerajaan negeri digesa tampil menjelaskan mengenai pemberian sagu hati raya yang didakwa sebanyak RM10,000 kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB selepas tular satu notis mengenai perkara itu.

Ahli Majlis Pimpinan Parti Keadilan Rakyat Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata, perkara itu perlu dijelaskan sama ada surat yang tular itu betul atau sebaliknya.

Katanya, AKSB perlu menjelaskan rasional pemberian sagu hati sama ada ianya sepadan dengan pencapaian dan sasaran AKSB dalam isu pembekalan air bersih.

“Sehari dua ini berlegar surat yang dikatakan dari pengurusan AKSB mengenai bonus raya baru-baru ini sebanyak RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah sedangkan staf AKSB diberi imbuhan sebanyak RM200 seorang sahaja.



“Jika benar sebagaimana disebut, bermakna tiada langkah positif daripada kenyataan bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) yang menjadi asas perubahan pentadbiran AKSB dalam membaiki perkhidmatan sekiranya ganjaran yang diperoleh tidak sepadan dengan hasil kerja mereka.

“Ini dikhuatiri boleh merencatkan proses Kerajaan Pusat untuk membantu kerajaan negeri dalam membaiki perkhidmatan air kiranya tadbir urus dan tata kelola yang baik tidak diamalkan secara tuntas oleh pihak pengurusan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu notis mengenai pemberian sagu hati raya kepada Ahli Lembaga Pengarah AKSB sebanyak RM10,000 yang tular sejak semalam.

Pemberian itu dipercayai membabitkan sembilan ahli lembaga pengarah AKSB. Selain itu, turut dinyatakan dalam notis itu mengenai pemberian saguhati kepada semua kakitangan bernilai RM200 dan kepada setiausaha syarikat RM2,000.



Perkara itu didedahkan oleh seorang individu di laman Facebook sehingga menimbulkan kemarahan rakyat Kelantan berikutan mempunyai masalah air yang berpanjangan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker