Lepaskan tembakan langkah terakhir – KP APMM

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak sewenang-wenangnya melepaskan tembakan ketika menjalankan operasi di perairan negara, sebaliknya tindakan itu sebagai langkah terakhir sekiranya ia mengancam nyawa anggota serta kerosakan harta benda kerajaan.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, pihaknya mematuhi ‘Rules of Engagement’ penggunaan senjata api sebelum melepaskan tembakan.

Katanya, isu yang berlaku di perairan Kelantan masih dalam siasatan polis, namun beliau menegaskan pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi sebelum sebarang tindakan diambil.

“Yang paling minimum, kita perkenalkan diri dengan cara guna bot dan pakaian seragam, kita bukan buat operasi guna baju awam, pakai bot awam.

“Apabila kita guna aset dan pakaian seragam APMM, mereka sepatutnya faham dan berhenti namun jika sebaliknya, kita akan bagi tembakan amaran.

“Dalam hal ini, kita sudah buat dan ingin saya tegaskan kita ada tatacara bila anggota kita boleh melepaskan tembakan seperti agensi lain,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai insiden tembakan di perairan Kelantan, baru-baru ini.

Mohd Zubil berkata, SOP itu bukan hanya digunakan ketika berhadapan nelayan asing tetapi nelayan tempatan yang memudaratkan nyawa penguat kuasa dan harta benda kerajaan.

“Kalau kita lihat sejak APMM ditubuhkan pada 2005 iaitu hanya selepas 15 tahun, baru dua tembakan dilepaskan.

“Mungkin dalam keadaan Covid-19 ini, mereka terdesak untuk mendapatkan duit, jadi tindakan mereka ambil itu di luar daripada biasa.

“Kita pandang serius isu ini dan berharap nelayan termasuk rakyat tempatan memberikan kerjasama dan bukannya kekerasan ketika pihak berkuasa menahan mereka di perairan negara,” katanya.

Dalam insiden di Kelantan pada 16 Ogos lalu, seorang nelayan Vietnam maut selepas terkena tembakan yang dilepaskan ketika proses tangkapan sedang dilakukan kira-kira 81 batu nautika atau 150 kilometer dari muara Tok Bali.

Sementara itu di Johor, seorang tekong warga Indonesia mati terkena tembakan ketika bergelut dengan anggota APMM selepas cuba menyeludup burung murai di perairan Tanjung Kelesa, Bandar Penawar pada 23 Ogos lalu.

hmetro

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker