Ditembak guna dua pucuk pistol, lelaki cedera pada lengan dan leher

KLANG: Seorang lelaki cedera pada lengan kanan dan leher selepas dipercayai ditembak oleh seorang suspek yang menggunakan dua pucuk pistol di Taman Wangi di sini, pagi tadi.

Kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan isteri mangsa yang disyaki menipu wang skim pelaburan sehingga menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata siasatan mendapati, kejadian berlaku kira-kira jam 7.10 pagi di hadapan rumah mangsa di Taman Wangi.

“Polis menerima panggilan kira-kira jam 8.55 pagi daripada seorang perempuan warga tempatan memaklumkan suaminya ditembak oleh lelaki disyaki warga tempatan di hadapan rumah mereka.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki berumur 46 tahun mengalami kesan kecederaan pada lengan kanan dan leher.

“Mangsa yang bekerja sebagai juruteknik dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan imbasan x-ray mendapati sebiji kelongsong dipercayai peluru ada di dalam lengan kanan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoong Fong berkata, siasatan mendapati suspek seorang lelaki disyaki tempatan menaiki sebuah motosikal warna gelap dan memakai topi keledar berpelitup muka gelap semasa kejadian itu.

“Suspek melepaskan tiga das tembakan ke arah mangsa dengan menggunakan dua pucuk pistol yang berlainan.

“Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian dan menjumpai beberapa barang termasuk dua objek logam disyaki kelongsong peluru,” katanya.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan membunuh.

“Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun.

“Polis meminta mana-mana pihak yang ada maklumat atau mengenali individu terbabit segera menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Hazri Raziff di talian 018-3204914 atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker