RFID memang ada kekurangan – KKR

Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) hari ini mengakui berlakunya kekurangan daripada sudut teknikal berkaitan pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di lebuh raya yang digunakan sekarang sehingga berlakunya kesesakan di plaza tol.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bagaimanapun berkata, KKR melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sudah meminta syarikat pengendali lebuh raya untuk membuat pelarasan lebih kerap di lorong-lorong RFID agar kecekapan dapat dipertingkatkan.

Selain itu, katanya, hebahan kesedaran kepada pengguna juga dibuat supaya mereka mempunyai baki yang mencukupi semasa melalui plaza tol.

“Saya juga ingin menyarankan supaya pengguna lebuh raya lebih peka dan bersedia untuk menyemak baki e-wallet sebelum memulakan perjalanan bagi memastikan tiada gangguan semasa melakukan transaksi bayaran tol,” katanya sewaktu Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkaitan mengapa sistem RFID masih mengalami masalah sehingga berlaku kesesakan di plaza tol dan apa rancangan kerajaan bagi mengatasi masalah itu.

Abdul Rahman berkata, mod pilihan pembayaran kepada pengguna juga akan dipelbagaikan selaras dengan hasrat kerajaan melaksanakan sistem kutipan tol secara Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada 2025.

Katanya, perkara itu tidak terhad kepada satu skim penyedia pembayaran seperti sekarang dan ini tidak langsung akan membantu pengguna mengatasi isu kekurangan baki sewaktu melalui gantri tol, seterusnya melancarkan pergerakan pengguna lebuh raya.

“Buat masa ini, kerajaan sedang memperhalusi kaedah pelaksanaan sistem MLFF ini bagi memberikan keselesaan yang terbaik kepada pengguna lebuh raya,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker