Berita gembira untuk Ainun Mardiah

KUALA BERANG: Pelajar Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu (KETENGAH) yang menghadapi kekangan kewangan menarik nafas lega apabila diminta segera melaporkan diri serta-merta ke asrama sebagai persediaan menduduki peperiksaan bulan depan.

Pengerusi KETENGAH, Datuk Seri Dr Ahmad Said, berkata kekangan kewangan termasuk perbelanjaan dihadapi Ainun Mardiah Mat Lazim, 19, dari Kampung Bukit Ara, Ajil, sepanjang mengikuti pengajian dan tinggal di asrama akan ditanggung sepenuhnya.

Katanya, pihaknya juga akan membantu untuk menyelesaikan masalah yuran tertunggak melebihi RM6,000.



“Kita sudah minta Ainun Mardiah penuntut jurusan diploma pendidikan kanak-kanak jurusan melaporkan diri dan mengikuti pengajian dalam kelas serta tinggal di asrama kolej dengan kadar segera.

“Soal perbelanjaan makan minum sepanjang berada di asrama dan tunggakan yuran pengajian kita akan selesaikan, kita minta Ainun Mardiah teruskan pengajian dan menduduki peperiksaan yang dijangka bulan depan,” katanya.

Portal Berita Harian dan Harian Metro semalam melaporkan Anum Mardiah yang juga anak sulung kepada pasangan Mat Lazim Jusoh, 50, dan Roslindawati Abd Rahman, 45, terpaksa keluar daripada asrama sejak 27 Mac lalu berikutan ketiadaan wang belanja harian untuk makan dan minum.

Ahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif Ketengah Holding Sdn Bhd (KHSB), Ramli Shahul Hameed dan Ketua Eksekutif Kolej Ketengah, Mohd Ramli ke kediaman Ainun Mardiah selepas dimaklumkan mengenai nasib pelajar berkenaan.



Turut ke kediaman Ainun Mardiah adalah kaunselor Kolej Ketengah, Rabiatul Adawiah Abd Malek dan Setiausaha UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Mohd Fadlillah Mukhtar mewakili Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Ainun Mardiah sudah ketinggalan mengikuti pengajian lebih tujuh bulan selepas pulang kerumah disebabkan kekangan kewangan, termasuk kehabisan duit perbelanjaan.

“Kita sudah bincang dengan pengurusan Kolej Ketengah dan meminta Ainun Mardiah segera melaporkan diri mengikuti pengajian sebagai persediaan menduduki peperiksaan.

“Pengurusan Kolej Ketengah akan menguruskan makan dan minum serta wang perbelanjaan Ainun Mardiah sepanjang berada di asrama dan mengikuti pengajian,” katanya.



Sementara itu, Roslindawati dalam keadaan sebak meminta Ainun Mardiah belajar bersungguh-sungguh dan tidak terlalu memikirkan masalah perbelanjaan harian sepanjang berada di asrama.

“Demi masa depan, adik belajarlah bersungguh-sungguh dan ibu doakan semoga cita-cita dan impian tercapai.

“Terima kasih kepada semua pihak termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) daerah Hulu Terengganu dan Ahmad serta pengurusan Kolej Ketengah kerana membantu Ainun Mardiah menyambung pengajian,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbangkan bantuan kewangan kepada Ainun Mardiah boleh berbuat demikian melalui akuan CIMB bernombor 7644595863.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button