Lima rumah setinggan musnah dalam kebakaran
MIRI: Seramai 13 penghuni hilang tempat tinggal selepas lima unit rumah setinggan di Jalan Pujut 2B Pujut Corner, di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas kesemua mereka sempat menyelamatkan diri dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 11.30 malam.
Katanya, setiba di lokasi, pihaknya mendapati api sedang marak memusnahkan lima unit kediaman jenis tidak kekal yang dibina bersebelahan di antara satu sama lain.
“Kami segera bertindak memadamkan kebakaran dengan menggunakan empat aliran 100 kaki, empat pancutan nozel dan empat aliran salur bantu dengan menggunakan sumber air dari pam jentera dan pili bomba berdekatan.
“Kami mengambil masa hampir empat jam bagi memadamkan kebakaran dan ia berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi,” katanya dalam kenyataan.
Jurucakap itu berkata, pasukan bomba kemudian bertindak melakukan proses penyejukan bagi mengelakkan api merebak ke empat lagi kediaman berdekatan.
Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian yang dialami penghuninya masih dalam siasatan.
Kesemua mangsa terjejas difahamkan tinggal sementara di rumah sanak saudara berdekatan sementara menunggu bantuan susulan tiba.
BHOnline