Pelanggan cemas kereta terbalik depan kedai makan

Kuala Terengganu: Pemuda dikejarkan ke hospital selepas Perodua Myvi dipandunya terbabas sebelum terbalik di hadapan sebuah kedai dekat Kampung Wakaf Beruas, Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang, di sini, malam tadi.

Kejadian 11.20 malam itu mencemaskan beberapa pelanggan dan pekerja yang berada di dalam kedai berkenaan.

Pekerja, Muhammad Hafizol Naim Dilas, 26, berkata, ketika kejadian, dia mencuci pinggan mangkuk sebelum terdengar bunyi dentuman kuat di hadapan kedai.

“Terkejut bunyi dentuman itu saya kemudian menoleh ke luar jalan sebelum mendapati sebuah kereta terbalik berhampiran kedai.

“Saya kemudian terus berlari keluar dan menyelamatkan pemandu dengan menariknya keluar dari tempat duduk pemandu dan membawanya masuk berehat di dalam kedai.

“Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan sahaja tetapi saya menghubungi ambulans kerana dia mendakwa sakit dada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hafizol berkata, kereta terbabit dikatakan terbabas dan melanggar beberapa kereta pelanggan yang diletakkan di hadapan kedai sebelum terbalik.

Katanya, dia percaya, sekiranya tiada kenderaan di hadapan kedai, berkemungkinan besar ia terbabas sehingga ke dalam kedai.

Sementara itu, bapa remaja terbabit, Mohd Shihabuddin Deraman, 54, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, anaknya, Muhammad Firdaus, 26, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Gelugor, di sini, selepas bermain futsal.

Katanya, dia menerima berita kemalangan anaknya itu selepas dihubungi seseorang sebelum bergegas ke lokasi kejadian

“Mungkin dia mengantuk. Syukur kerana dia hanya mengalami kecederaan ringan sahaja dan dibawa ke hospital selepas mengadu sakit dada. Harap dia tidak mengalami kecederaan dalaman,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker