Datuk Roy, pegawai SPRM didakwa rasuah RM640,000 supaya anak Muhyiddin tidak direman

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Mohd Hussein Mohd Nasir atau lebih dikenali Datuk Roy dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini, atas tiga tuduhan terbabit rasuah RM2.64 juta, termasuk RM640,000 sebagai dorongan untuk tidak mereman anak bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Ketua Pegawai Cawangan Siasatan SPRM, Mohd Rasyidi didakwa kerana bersama Datuk Roy meminta rasuah RM400,000 dan menerima rasuah RM240,000.

Bagaimanapun, Datuk Roy, 54 dan Mohd Rasyidi, 43, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, ahli perniagaan itu meminta rasuah RM2 juta daripada dua individu dikenali Siti Dalena Berhan, 47 dan Syed Farid Syed Ahmad A-Attas, 41, di Jalan 14/1 Kampung Melayu Kepong, Kepong, di sini, pada awal Februari lalu.

Ia sebagai dorongan menukarkan pertuduhan lebih ringan, menukar keterangan tertuduh kepada saksi, dan mengurangkan wang jaminan terhadap kes pendakwaan dihadapi Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Datuk Roy juga didakwa bersama Mohd Rasyidi secara rasuah meminta wang tunai RM400,000 dan menerima RM240,000 masing-masing daripada Siti Dalena dan Syed Farid sebagai dorongan untuk tidak menahan reman Fakhri semasa siasatan SPRM.

Dua kesalahan itu di sebuah restoran di Lorong Kurau, Bangsar, antara jam 9 malam hingga 11 malam, 5 Mac lalu dan restoran makanan segera di Desa Sri Hartamas, jam 2 petang hingga 4 petang pada 6 Mac lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Pegawai Pendakwa SPRM, Selvam T Armugom, menawarkan jaminan antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

“Syarat tambahan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan alamat kediaman pada minggu pertama setiap bulan,” katanya.

Peguam bela Datuk Roy, Fahmi Abd Moin, menyifatkan tawaran jaminan itu sebagai munasabah.

“Tiada bantahan terhadap syarat tambahan. Cuma nak minta anak guam melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur walaupun tinggal di Kuantan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Mohd Rasyidi, Mohd Hezri Shaharil, berkata jaminan ditawarkan agak membebankan dan perlu dikurangkan di bawah RM10,000.

“Anak guam adalah bekas penjawat awam Gred 48 dan ada empat anak berusia antara setahun hingga 16 tahun yang masih bersekolah serta adiknya akan jadi penjamin.

“Jumlah jaminan bukan untuk menghukum sebelum bicara sebaliknya untuk memastikan kehadiran di mahkamah,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan jaminan RM15,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin masing-masing terhadap Datuk Roy dan Mohd Rasyidi, serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM Kuala Lumpur hingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Julai untuk sebutan semula kes.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker