Lelaki dalam tahanan polis meninggal

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mempunyai rekod dikehendaki polis yang sedang ditahan dalam lokap Balai Polis Larkin, di sini, dilaporkan meninggal dunia semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata lelaki berusia 47 tahun berkenaan sebelum itu mengadu sakit dan muntah-muntah pada jam 6.20 pagi lalu dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk rawatan pada jam 7.45 pagi.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan kematian lelaki itu meninggal dunia pada jam 8.30 pagi. Bedah siasat dijadualkan hari ini di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mengetahui punca kematian dan tindakan lanjut.

“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Menurut Raub, lelaki itu ditahan kelmarin dan ditempatkan sementara di lokap berkenaan sebelum dijadualkan untuk dituduh di mahkamah semalam.

“Lelaki terbabit ditahan kerana mempunyai rekod orang yang dikehendaki mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 12 rekod berkaitan kes dadah,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker