Arsenal lapan mata menguasai puncak EPL

London: Arsenal melonjak kepada lapan mata untuk menguasai puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil dua gol Bukayo Saka yang mencetuskan inspirasi kepada kemenangan 4-1 ke atas Crystal Palace.

Gabriel Martinelli membuka jaringan pada separuh masa pertama di Stadium Emirates untuk meletakkan Arsenal di landasan tepat meraih kemenangan liga keenam berturut-turut.

Gol itu menyaksikan Martinelli menebus kegagalannya menyempurnakan sepakan penalti ketika Arsenal tewas dalam saingan 16 terakhir Liga Europa menerusi penentuan sepakan penalti menentang Sporting Lisbon Khamis lalu.

Skuad kendalian Mikel Arteta hanya memerlukan 45 minit untuk menambah luka Palace yang sedang bergelut untuk memadamkan rasa pahit kekalahan itu.



Saka kemudiannya menggandakan kelebihan Arsenal sebelum babak pertama tamat.

Granit Xhaka menjaringkan gol ketiga selepas rehat dan Jeff Schlupp menghadiahkan saguhati buat lawan.

Namun gol kedua Saka menyempurnakan persembahan bergaya Arsenal.

“Saya sangat gembira dengan cara kami bertindak balas selepas perlawanan Sporting.



“Kami menunjukkan keazaman yang tinggi,” kata pengendali Arsenal Mikel Arteta.

“Rasanya sangat bagus, terutamanya dengan cara kami bermain dan keputusan yang kami perolehi.

“Keinginan dan tenaga itu mengagumkan saya. Mereka mesti kembali dari rehat antarabangsa dengan pemikiran yang sama seperti sebelum ini.”

Arteta memberikan pujian kepada Saka, yang menjadi pemain pertama yang mencapai sekurang-kurangnya 10 gol dan 10 bantuan dalam Liga Perdana musim ini.

Arsenal kini mendahului lapan mata mengatasi Manchester City di tempat kedua selepas membelasah Burnley pada aksi suku akhir Piala FA semalam.

Dengan masih mempunyai baki satu perlawanan di tangan menjelang pertembungan penting dengan The Gunners pada 26 April, Pep Guardiola masih percaya mereka boleh memenangi kejuaraan kelima dalam enam musim.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker