Azeem catat 10.4s tetapi tak dikira rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR: Bintang olahraga negara, Muhammad Azeem Fahmi terkandas di peringkat suku akhir Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1 – Pusingan Pertama Timur di Florida, Amerika Syarikat pagi tadi meskipun mencipta catatan 10.04 saat (s).

Catatan dilakukannya dalam acara 100 meter (m) di Stadium Hodges itu secara tidak langsung melepasi rekod kebangsaan dilakukannya sebelum ini 10.09s namun ia tidak boleh diiktiraf disebabkan faktor bantuan angin.

Azeem menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada 24 peserta di belakang atlet mewakili Louisiana Tech, Rodney Heath Jr yang melakukan catatan 9.99s.

“Walaupun saya tidak dapat layak ke peringkat kebangsaan, saya masih berbangga dengan diri saya. Allah adalah sebaik-baik perancang. Musim yang masih panjang di depan, saya akan kembali,” kata Azeem dalam akaun Twitter miliknya.



Atlet mewakili Louisiana State University, Da’Marcus Fleming menemui garisan penamat di tempat pertama dengan catatan 9.85s manakala Cole Beck (Virginia Tech) berada di tempat kedua, 9.87s.

Berada di tempat ketiga adalah atlet Universiti Florida, Pj Austin yang mencatat 9.88s diikuti rakan seperjuangan Azeem di Universiti Auburn, Favour Ashe dengan catatan 9.92s.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Azeem, 19, mengalami kecederaan pangkal paha ketika peringkat saringan pusingan pertama dan perlu mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada pakar perubatan untuk menyertai saingan suku akhir.

Meskipun berada dalam keadaan kurang cergas, Azeem berjaya menamatkan saringan pusingan pertama itu dalam kelompok tiga pelari terpantas dengan catatan 10.21s.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker