Lelaki Rohingya tunjuk isyarat jari tengah sudah ditahan polis

Kulai: Melampau. Begitulah sikap tidak bertanggungjawab sesetengah komuniti Rohingya di Lorong 6, Jalan Susur Kulai 1, Kulai Besar di sini, yang tidak pernah reda dengan pelbagai isu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Wong Bor Yang berkata, isu baharu timbul apabila komuniti Rohingya di kawasan itu bebas menjalankan aktiviti mengumpul barangan kitar semula dalam sebuah tong besar diletak di laluan utama sehingga menjejaskan keselesaan ramai.

Beliau berkata, malah etnik terbabit juga enggan menerima teguran penduduk tempatan.

Menurutnya, isu berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam, menyaksikan tong besar itu dialihkan pada waktu petang selepas menerima amaran daripada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).



“Sebelum ini, berlaku masalah kebersihan termasuk sampah bertimbun malah ada yang bebas menjalankan perniagaan di situ.

“Kali ini, mereka semakin berani, walaupun lorong itu sempit, mereka tetap meletakkan tong besar.

“Ia mengakibatkan kenderaan lain tidak dapat menggunakan laluan itu dan isu terbabit walaupun pertama kali berlaku, ia dipandang serius dan amaran lisan sudah diberikan.

“Saya berharap penguat kuasa sentiasa memantau keadaan perkampungan itu dan kali ini, tindakan pantas MPKu juga dipuji dalam mengatasi aduan orang ramai,” katanya.



Isu komuniti Rohingya yang bebas meletakkan tong besar di hadapan rumah di laluan utama bagi mengisi barangan kitar semula tular di media sosial, semalam.

Malah, menerusi video berdurasi 19 saat di TikTok, seorang lelaki Rohingya juga menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang penduduk apabila ditegur meletakkan longgokan besi buruk di laluan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, lelaki etnik Rohingya yang menunjukkan isyarat lucah terbabit ditahan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mengetahui berkaitan kejadian itu pagi tadi, selepas rakaman video terbabit tular.

“Video itu memaparkan seorang pendatang asing tanpa izin (Pati) mengganggu ketenteraman umum. Video berkenaan tular dan mendapat reaksi netizen.

“Suspek menunjukkan isyarat jari tengah kepada seorang penduduk tempatan kerana marah apabila ditegur meletakkan longgokan besi buruk atas jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, anggota Team Lejang Balai Polis Kulai menangkap suspek yang berusia 23 tahun di sebuah rumah di Lorong 6, Kulai Besar, jam 11.30 pagi pagi.

Katanya, suspek mengaku dia adalah individu dalam video berkenaan dan kejadian berlaku empat hari lalu sebelum video terbabit tular.

“Suspek direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker