Malaysia ke separuh akhir Piala Remaja Asia

Salalah,Oman : Pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan memastikan rekod tanpa kalah untuk tiga perlawanan berturut-turut berjaya dikekalkan selepas menundukkan lawan Korea, 3-1 pada aksi ketiga pusingan Kumpulan B, Kejohanan Piala Remaja Asia (Lelaki) 2023 yang berlangsung di Sultan Qaboos Youth Complex, Salalah, Oman dan kemenangan ini juga sekaligus mengesahkan tempat Malaysia di separuh akhir.

Tiga gol Malaysia yang terhasil hari ini adalah menerusi pukulan sudut penalti bermula dengan penyudahan daripada Perabu Tangaraja pada minit ke-11 diikuti jaringan minti ke-54 oleh Shahmie Irfan Suhaimi yang sekali lagi dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan dan gol kemenangan pada minit ke-57 oleh Mughni Mohamad Kamal.

Aksi hari ini menyaksikan Malaysia memastikan kelebihan pukulan sudut penalti yang dimiliki pada minti ke-11 digunakan sebaiknya selepas Perabu Tangaraja melakukan satu flik terus yang berjaya menewaskan penjaga gol Korea, Kim Seyeon.



Suku kedua dan ketiga perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan saling cuba melakukan serangan untuk mencetak gol tetapi percubaan yang dimiliki termasuk kelebihan pukulan sudut penalti, buntu untuk disudahkan.

Memasuki suku terakhir, Malaysia akhirnya menggandakan jaringan pada minit ke-54 hasil satu flik bawah ke sudut sebelah kanan pintu gol Korea oleh Shahmie Irfan Suhaimi dan Korea yang berusaha untuk merapatkan kembali kedudukan berjaya mencuri satu gol padang dua minit kemudian hasil gol Park Geonwoo.

Bagaimanapun, seminit selepas itu, Malaysia yang dihadiahkan dengan satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti memastikan kelebihan tersebut diterjemahkan kepada gol selepas Mughni Mohamad Kamal menyambung hantaran leret yang dilakukan oleh Muhammad Faris Harizan bagi menyudahkan set-piece yang dirancang dan sekaligus menutup perlawanan hari ini dengan kemenangan 3-1 milik Malaysia.

Ketua Jurulatih Skuad Remaja Lelaki Kebangsaan, Muhamad Amin Rahim memuji kesungguhan juga usaha keras yang telah ditunjukkan oleh pemain-pemainnya yang tidak menghiraukan faktor cuaca ataupun keletihan dan pemain-pemainnya mampu untuk turun memberikan aksi yang terbaik serta meraih tiga kemenangan berturut-turut.



“Untuk perlawanan hari ini dari segi pukulan sudut penalti, kita boleh lihat penyudahan yang baik apabila kami meraih lima pukulan sudut penalti dan menjaringkan tiga daripadanya di mana ianya satu petanda positif buat pasukan.

“Kami juga mempunyai peluang untuk menjaringkan gol padang tetapi penyudahan yang agak kurang baik daripada barisan serangan, namun kami menggunakan kelebihan pukulan sudut penalti dengan sebaiknya untuk mendapatkan gol.

“Pelawanan terakhir bertemu Oman, untuk saya apa yang lebih penting adalah konsentrasi daripada pemain dan mereka perlu turun dengan pemikiran yang betul iaitu untuk mencari kemenangan seterusnya bagi peringkat kumpulan.

“Dengan kemenangan berturut-turut yang telah diraih, ia sedikit sebanyak menambah lagi keyakinan pemain dan bagaimana percaturan yang akan kami lakukan untuk pertemuan dengan Oman, kami akan membuat analisa video untuk mengenalpasti kelebihan dan kelemahan pasukan.



“Kami telah layak ke separuh akhir dan masih menanti siapa lawan antara India atau Pakistan yang mempunyai kekuatan tersendiri. Apa yang penting untuk kami adalah kekal fokus untuk pertemuan dengan Oman terlebih dahulu dan selepas itu baru kami akan memikirkan bagaimana percaturan untuk aksi separuh akhir,” jelas beliau.

Sumber : mhc.org

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button