Pelancong di Bali buat hal

Jakarta: Seorang pelancong Jerman ditahan selepas menanggalkan pakaiannya dan melanggar pintu keselamatan selepas dilarang melihat persembahan upacara keagamaan di sebuah kuil di Bali, Indonesia.

Darja Tuschinski, 28, dilarang masuk ke pertunjukan sebuah acara keagamaan Hindu di Bali sebelum didakwa menolak halangan keselamatan dan menanggalkan pakaiannya sebagai protes.

Pelancong yang berambut perang itu kemudian dilihat melangkah dengan yakin melepasi penari sebelum membuka pintu berlapis emas.



Apabila seorang lelaki tempatan cuba menghalangnya, dia membongkok dan kelihatan meniru aksi pergerakan penari sebelum keluar dari platform itu dan melutut di sebelah kuil, seolah-olah sedang berdoa.

Penonton lain terkejut apabila memerhatikan pelancong itu meneruskan aksi mengaibkan itu sambil berjalan semula ke atas pentas.

Kakitangan keselamatan bergegas menghampiri dan menahan Darja kerana mengganggu persembahan itu dan menyerahkannya kepada polis di daerah Ubud.

Dia bakal berdepan hukuman penjara dua tahun lapan bulan, jika didapati melanggar undang-undang berkelakuan tidak sopan di tempat awam.



Kakitangan Kuil Saraswati Ubud memohon maaf kepada pengunjung dan melakukan ritual untuk ‘membuang semangat buruk’ susulan kejadian itu.

Ketua Perhubungan Awam Polis Bali, Stefanus Satake Bayu Setianto berkata, kejadian itu berlaku di atas pentas Hotel Puri Saraswati di Ubud, Gianyar.

“Dia tinggal seorang diri. Sepanjang berada di Banglo Ubud, dia sering dilihat berbogel ketika berjalan di sekitar kawasan vila,” katanya.

Katanya, laporan ujian dadah dan alkohol terhadap wanita itu masih belum diketahui.



Polis percaya, Darja bergelut untuk mendapatkan wang dan mengalami tekanan.

Ketua majlis tempatan Wayan Widana berkata, Darja mengalami kemurungan kerana dia kehabisan wang untuk meneruskan perjalanannya.

Sementara itu, Ketua Pejabat Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Wilayah Bali, Anggiat Napitupulu berkata, Darja akan menjalani pemeriksaan fizikal dan psikologi untuk mengetahui keadaan kesihatannya.

Individu yang melakukan perbuatan tidak senonoh di tempat awam boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun lapan bulan penjara, jika sabit kesalahan.



Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button