Hanya lakonan semata-mata

Kota Kinabalu: Video mengenai kejadian samun di sebuah kedai emas di Inanam yang tular di media sosial sejak semalam, didapati hanya lakonan dan rekaan semata-mata.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, video berdurasi tiga minit 32 saat itu menunjukkan seorang pelanggan wanita yang berada dalam kedai emas berkenaan didatangi seorang lelaki.

Katanya, secara tiba-tiba lelaki itu bertindak meragut bakul berisi barang kemas yang dibeli oleh mangsa dari premis berkenaan sebelum melarikan diri.

“Berkaitan tersebarnya rakaman video itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuat risikan dengan menghubungi pengurus premis berkenaan bagi mendapatkan pengesahan berhubung insiden itu.

“Sehubungan itu, pihak pengurusan premis mengesahkan bahawa kejadian itu hanyalah lakonan dan rekaan semata-mata sebagai inisiatif untuk memberi kesedaran kepada orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling bagi mengelak menjadi mangsa ragut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kalsom berkata, pihaknya kemudian meminta supaya pengurus premis berkenaan membuat laporan polis bagi mengesahkan insiden dalam rakaman video itu hanyalah lakonan semata-mata.

“Selain memberi penjelasan kepada netizen di media sosial bahawa tujuan video itu disebarkan bagi mengelak kegusaran dan ketakutan dalam kalangan orang ramai khususnya di daerah ini.

“Ini kerana polis IPD Kota Kinabalu sentiasa memastikan tahap keselamatan adalah terkawal dan di tahap yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Kalsom berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung rakaman video berkenaan.

Katanya lagi, jangan mudah mempercayai sebarang isu yang disebarkan dalam media sosial tanpa pengesahan oleh pihak yang berkenaan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker