Polis tahan lima lelaki, wanita

Johor Bahru: Polis menahan lima lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes pergaduhan yang video mengenainya tular di media sosial, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 28 saat itu dimuat naik pengguna media sosial yang menunjukkan pergaduhan sekumpulan lelaki.

“Siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku jam 11.40 malam kelmarin di kawasan Tampoi dan susulan itu, kita berjaya menahan lima lelaki dan seorang wanita warga tempatan.

“Mereka berusia lingkungan 24 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga Rabu untuk siasatan mengikut Seksyen 148, Seksyen 365 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

“Kita masih lagi dalam proses mengenal pasti (punca pergaduhan) dan dalam tindakan mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Ditanya dakwaan warganet bahawa pergaduhan itu susulan kes pelajar di Kempas dibaling pemadam pensel baru-baru ini, Balveer Singh memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan.

Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mensensasikan isu terbabit sehingga boleh memudaratkan ketenteraman awam.



“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Risman Sahid di talian 019-7766043,” katanya.

Terdahulu, video tular di Twitter menunjukkan sekumpulan lelaki memukul seorang mangsa dan mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker