Rumah keluarga Issey musnah terbakar

Kuala Lumpur: Rumah pusaka keluarga pelawak, pelakon dan penyampai radio, Issey Fazlisham, 36, di Kampung Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan musnah dalam kebakaran, petang hari ini.

Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin berkata, dia sangat sedih kerana rumah itu sangat bermakna buatnya jika dibandingkan dengan jumlah kerugian dialami.

“Kerugian tak payah cakaplah. Kerugian paling besar adalah kami kehilangan rumah pusaka. Saya dilahirkan di rumah itu yang seusia dengan saya iaitu 36 tahun.



“Sewaktu ibu dan bapa pindah masuk rumah itu, saya baru dilahirkan. Rumah itu banyak sangat kenangan,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Issey, ketika insiden malang itu berlaku, kebetulan dia berada di Kota Bharu untuk menghadiri satu acara di sana.

Katanya, mujur tiada sesiapa berada dalam rumah ketika kejadian.

“Rumah itu sekarang kakak yang duduk. Nak dijadikan cerita, dia tiada di rumah kerana berada di Terengganu. Saya kebetulan ada di Kelantan sebab ada acara.



“Masa acara itu, saya dapat panggilan kata rumah saya terbakar. Saya pun datang ke rumah itu, bomba sudah sampai. Lebih 80 peratus rumah itu memang habislah,” katanya.

Terdahulu, Issey berkongsi berita sedih itu menerusi Instagram. Hantarannya itu mendapat komen-komen simpati daripada ramai termasuk rakan-rakan artis.

“Rumah arwah mak saya terbakar. Di Kampubg Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan. Kebetulan saya ada di Kelantan. Memang tersangat sebak. Rumah tempat saya membesar. Terima kasih Pasukan Bomba dan Penyelamat Kelantan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button