Guna hasil samun berjudi, pinjamkan duit kepada rakan

Bangkok: Cubaan mak nyah meragut rantai emas dan wang tunai daripada pasangan warga Rusia di Pattaya awal minggu ini membawa padah apabila ditahan polis.

Portal The Thaiger melaporkan, pegawai polis menahan suspek di Balai Polis Pattaya atas tuduhan mencuri wang tunai 2,500 baht (kira-kira RM331) dan dua rantai emas daripada Nikolay Smirnova dan isterinya, Elena Smirnova yang kedua-duanya berusia 51 tahun.

Menurut pasangan itu, suspek menyambut mereka dengan pelukan mesra serta berswafoto bersama di Pantai Jomtien, jam 10.30 malam pada Selasa.

Selepas suspek beredar, pasangan itu menyedari barang berharga mereka hilang.



Di Balai Polis Pattaya, Superintendan Kolonel Thanapong Phothi, mengenal pasti suspek sebagai Watcharapong Ponpun iaitu transgender berusia 27 tahun dari wilayah Buriram di timur laut Thailand.

Pegawai itu memaklumkan Pattaya News bahawa sebaik menerima laporan kecurian pada 23 Mei, dia segera memulakan pencarian menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi untuk mengesan keberadaan suspek.

Akhirnya, dia mendapati suspek menaiki teksi ke sini selepas menjual salah satu rantai emas yang dicuri di sebuah kedai emas yang tidak didedahkan di Pattaya.

Bagaimanapun, Thanapong mendedahkan bahawa suspek kehabisan wang dan menghubungi kedai emas yang sama sekali lagi untuk menjual baki rantai yang dicuri.



Thanapong kemudian menghantar pasukan untuk memantau keadaan dan dengan sabar menunggu sehingga suspek tiba dengan teksi dari sini ke kedai emas.

Sebaik sahaja pihak berkuasa memerhati Watcharapong mengeluarkan rantai emas untuk dijual kepada pembeli, mereka segera campur tangan dan menahannya.

Pada mulanya, Watcharapong mengaku menyeluk saku Nikolay dan Elena di Pantai Jomtien.

Ia adalah kali pertama dia melakukan jenayah sedemikian dan mengaku menggunakan wang yang dicuri untuk berjudi dalam talian, meminjamkannya kepada rakan dan menampung perbelanjaan harian.

Watcharapong kini dalam tahanan polis menunggu pertuduhan lanjut sementara siasatan dijalankan.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker