Mahathir ‘bodohkan’ Melayu dengan Proklamasi
Oleh – Bakhtiar Omar
Sangat mudah bagi Tun Mahathir ‘bodohkan’ Orang Melayu dengan hanya menggunakan Proklamasi Melayu yang kononnya untuk menyelamatkan Bangsa Melayu.
Naratif yang digunakan Mahathir bagi ‘membodohkan’ Melayu sebenarnya boleh dipertikaikan.
Sebagai contoh, dalam Proklamasi tersebut digariskan klausa nombor 6 – “Rebutan jawatan dan wang telah menjahanamkan perpaduan bangsa Melayu”.
Kewujudan Semangat 46 adalah kerana perseteruan antara Mahathir dan Tengku Razaliegh Hamzah, diikuti kewujudan KEADILAN yang menyaksikan Anwar Ibrahim menggelarkan Mahathir sebagai ‘Mamak Bendahara’.
Kemudian wujud pula Parti Pribumi Bersatu Malaysia, hasil perseteruan beliau dengan Najib Razak. Mahathir kemudian keluar dari BERSATU dan menubuhkan PEJUANG.
Mahathir kemudian membuat keputusan menubuhkan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menghadapi PRU15. Sebagai rekod, Mahathir kalah dan hilang deposit di Langkawi.
Jelas sekali, politik Mahathir adalah politik yang tidak stabil dan beliau merupakan ‘Bapa Perpecahan Melayu’ yang sebenar.
Selama 22 tahun ketika Mahathir berkuasa sebagai Perdana Menteri, apa keistimewaan atau pembelaan yang beliau tumpukan kepada Bangsa Melayu?
Apa pula yang Mahathir usahakan untuk Bangsa Melayu ketika sekali lagi menjadi Perdana Menteri pada 2018-2020?
Klausa nombor 2 – “Mutakhir, satu-satunya kuasa yang ada iaitu politik juga terlucut dari tangan mereka.”
Hanya kerana beliau tidak lagi menjadi Ahli Parlimen maka meletakkan anggapan kuasa politik Melayu sudah terlucut?
Di Semenanjung sahaja, Ahli Parlimen berbangsa Melayu mencecah 122 orang secara keseluruhan tidak termasuk Sabah dan Sarawak.
Jadi dari mana datangnya dakwaan Mahathir, Melayu sudah hilang kuasa dalam politik? Agak malang bagi mereka yang terpesona dengan ulangan naratif yang Mahathir mainkan untuk kepentingan dirinya.
Klausa ke 7 Proklamasi – “Lemahnya Melayu sehingga kedaulatan tanah air ini pun bakal terlepas dari tangan mereka.”
Siapa yang melepaskan kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Putih? Ini persoalan yang perlu dijawap Mahathir sendiri.
Mengapa Mahathir begitu berani membuat dakwaan berkaitan Kedaulatan sedangkan Malaysia mempunyai Angkatan Tentera Malaysia serta perkhidmatan lain yang bertanggungjawab menjaga Kedaulatan Tanah Air.
Kepada mereka yang kononnya bersimpati dengan Mahathir, eloklah bertenang dan berfikir dengan sewajarnya adakah usaha Mahathir untuk Melayu atau lebih kepada mahu menjaga kepentingan sendiri.
Mahathir seorang yang bijak dalam mengatur strategi dan beliau merupakan ahli politik yang licik dengan muslihat. Belum tentu yang dizahirkan beliau adalah perancangannya kerana lazimnya akan ada ‘lapik’ untuk mengaburkan pandangan semua dari apa serangan sebenar yang diaturnya.