UMNO terus pertahankan Islam, Melayu dan Istana

Oleh – Bakhtiar Omar


Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuka gelanggang PAU2023 dengan mengingatkan perwakilan untuk kembali mengeratkan hubungan demi keutuhan Umno itu sendiri.

“Carik-carik bulu ayam
Lama lama bercantum jua
Kita lupa kisah yang silam
Demi negara kita bersama”

Dalam ucapan, beliau terus menegaskan iktikad Umno untuk terus pertahankan Islam, Melayu dan Istana sepertimana terkandung dalam ikrar penubuhan parti itu 77 tahun lepas.

Zahid mengambil kesempatan mengalu-alukan kehadiran 36% muka baru Ketua Bahagian, 66% Timbalan Ketua Bahagian dan 73% Naib Ketua Bahagian Umno ke Perhimpunan Agung Umno 2023.

“Sebagai sebuah negara yang terletak di persimpangan Asia Tenggara, Malaysia tidak dapat lari daripada memainkan peranan penting, terhadap perkembangan geopolitik serantau. Setiap langkah dan keputusan kita, pasti memberikan dampak kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat
secara keseluruhannya.”

Oleh yang demikian, kerjasama serantau dan diplomasi pelbagai hala, amat penting bagi Malaysia dalam menangani isu global ini. Kita, mesti memanfaatkan hubungan strategik dengan kuasa-kuasa global dengan
mengekalkan dasar berkecuali demi kepentingan negara.

Kita perlu mengukuhkan kerjasama dengan negara-negara maju dalam pelbagai bidang. Ini akan seterusnya membantu Kerajaan ini, dalam meningkatkan daya saing negara serta mendapatkan kelebihan, dalam perubahan geopolitik dunia.

Asas-asas kenegaraan yang disepakati oleh para pembina negara bangsa, kekal menjadi pedoman. Penyimpangan atau cubaan menafikan kesepakatan yang telah terjalin, boleh mengundang ketidakstabilan. Malaysia telah melalui fasa ini, selepas PRU Ke-14 yang lalu.

Ketika itu, ada suara-suara yang mula menyentuh perkara-perkara asas yang telah disepakati bersama. Akibatnya,
berlaku keretakan dalam kerajaan yang akhirnya membawa ketidaktentuan.

UMNO sejak memperjuangkan kemerdekaan negara, sentiasa berpegang kepada jalan sederhana. Walaupun sering cuba digambarkan dengan label parti rasis, sejarah telah membuktikan, UMNO adalah gerakan politik
pragmatik, yang mengambil jalan tengah dalam mempertahankan asas serta paksi kenegaraan.

Diawali dengan pemberian taraf kerakyatan melalui prinsip Jus Soli, UMNO yang memimpin gerakan nasionalis, berjaya melunakkan pendirian orang Melayu ketika itu.

Bagi UMNO, matlamat utama adalah untuk mencapai kemerdekaan, dengan menjamin kedudukan Islam dan orang Melayu terpelihara di dalam Perlembagaan.

Insiden 13 Mei 1969,membawa kepada terjemahan yang lebih jelas, dalam soal perkongsian kuasa dan ekonomi negara.

JASA ALLAHYARHAM TUN RAZAK

Allahyarham Tun Abd Razak, menggarap idea dan menterjemahkannya melalui Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini, menghapuskan pengkelasan masyarakat berasaskan kaum yang diidentitikan mengikut sektor ekonomi dan
penempatan mereka. Melayu di kampung dengan bertani, Cina di bandar dengan perniagaan dan India pula di estet dengan perladangan.

Dalam konteks politik pula, selepas peristiwa hitam tersebut, proses penyatuan politik nasional telah digarap. Penubuhan Barisan Nasional, adalah inisiatif yang menggabungkan Perikatan di Semenanjung yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC serta parti sahabat dari Sarawak iaitu PBB dan SUPP, juga USNO
dari Sabah.

Turut tergabung melalui inisiatif ini ialah People’s Progressive Party (PPP), Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan parti GERAKAN. Jumlah ini kemudiannya bertambah sehingga menjadi 13 parti seluruh Malaysia.

Gabungan politik ini pada ketika itu, turut mengundang resah umat Melayu. Ini memandangkan, ada sebuah parti yang berhaluan agak ke kiri menguasai pemerintahan Pulau Pinang dan satu lagi parti, hampir dapat memerintah di negeri Perak.

Sudah tentu ia menimbulkan kekhuatiran, apakah perjuangan nasionalis dan kedudukan Islam akan tergugat dengan penubuhan Barisan Nasional.

Namun, Alhamdulillah UMNO yang menjadi teras kepada kerjasama tersebut, sekali lagi memainkan peranannya. UMNO dalam mendepani realiti politik baharu, telah melakukan penyesuaian politik pada ketika itu, tanpa mencairkan soal keindukan Islam, Melayu dan Bumiputera.

Barisan Nasional terus mengorak langkah membawa Malaysia, muncul sebagai sebuah negara yang
penuh dengan rekod kejayaan hingga ke hari ini.

TEKAD UMNO DEMI AGAMA, BANGSA DAN NEGARA

Sehubungan itu, kita perlu berani untuk berhadapan dengan kelompok yang memperalatkan Melayu dan Islam untuk kelangsungan politik mereka. Ini kerana, rekod perjalanan politik kita sentiasa dipandu oleh Fasal 3
Perlembagaan UMNO, iaitu:

• Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam sebagai Agama Persekutuan tetapi pada masa yang sama menghormati prinsip kebebasan beragama.
• Mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan dalam membelakepentingan Raja-Raja Melayu, Bangsa Melayu Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli seperti termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, prinsip kontrak sosial dan undang-undang tubuh Negeri-Negeri dalam Malaysia.
• Membela nasib rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum.

• Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial; serta
• Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan rakyat Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan prinsip-prinsip hak Asasi Manusia dan Hak Keistimewaan Orang Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan
Orang Asli.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker