Azmin Ali calon ‘Poster Boy’ PN Selangor?
Oleh – Bakhtiar Omar
Nama Azmin Ali kembali menghangatkan suasana menjelang Pilihanraya Negeri (PRN) Selangor. Lebih panas, Azmin Ali juga dikatakan calon ‘Poster Boy’ untuk Perikatan Nasional dalam usaha merampas Selangor dari Pakatan Harapan.
Azmin, digambar-gemburkan akan bertanding di Morib namun mutakhir ini kedengaran beliau memilih Kuang sebagai ‘kawasan selamat’ untuk ditandinginya.
Ini bagi memastikan beliau beroleh sokongan dari pengundi Melayu dan tidak mengharapkan sokongan dari pengundi kaum lain.
Pada PRU14, 2018, N13 DUN Kuang dimenangi oleh Sallehudin Amiruddin BERSATU yang kemudiannya melompat menyertai PEJUANG sejak 2020.
DUN Kuang pada 2018 mempunyai seramai 26,481 pengundi dengan pecahan sebanyak 75.93% adalah Melayu, Cina 12.04%, India 9.68% manakala lain-lain 2.35%.
Jelas, jika Azmin memilih Kuang sebagai kawasan ditandingi, beliau boleh memenangi kawasan tersebut dengan syarat penyandang tidak lagi bertanding di DUN Kuang.
Azmin perlu bersedia untuk kalah seperti di Parlimen Gombak sekiranya Sallehudin membuat keputusan untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2018.
Jika Azmin memilih Kuang, beliau akan dilihat sebagai seorang ‘BACUL’ kerana tidak berani berdepan dengan Amirudin Shari di DUN Sg Tua.
Sebagai bekas penyandang kerusi Parlimen Gombak, Azmin sepatutnya memperlihatkan kekuatan sebenar beliau di Sg Tua dan mencabar Amirudin.
Ini akan lebih menaikkan imej Azmin Ali sebagai seorang pejuang yang berprinsip “jika takut dilambung ombak, jangan berumah di tepian pantai”.
Pada Februari 2020, Azmin menjadi tokoh utama dalam menggerakkan “Langkah Sheraton”, yang memaksa Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri, serta membuka laluan kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk dilantik menjadi perdana menteri.
Ketika ini Mahathir mengetuai gerakan Proklamasi Melayu, yang mendapat sokongan daripada Muhyiddin dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Mahathir juga menyatakan dia kini menyokong Perikatan Nasional untuk pilihan raya enam negeri akan datang. – Azmin jumpa Mahathir – 3/7/2023
Tetapi semua tahu, Azmin bukanlah seberani mana untuk menerima hakikat beliau akan kalah sekali lagi dalam Pilihanraya. Apa guna diletakkan sebagai ‘Poster Boy’ jika memilih kawasan selamat?
Adalah satu kemenangan moral sekiranya Azmin mampu mengalahkan Amirudin di Sg Tua pada PRN kelak. Barulah boleh dinamakan sebagai ‘Poster Boy’ yang digeruni.
Malah, Azmin akan dialu-alukan kembali sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya berjaya memimpin Perikatan Nasional menewaskan Pakatan Harapan.
Mungkin ada rekod lama semasa pentadbiran Azmin Ali boleh dibongkarkan semula seperti yang pernah dilakukan Che’gu Bard?