Tokan dadah pasang 4 CCTV kesan kehadiran polis

MARANG: Pasang kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kawasan rumah antara taktik digunakan seorang tokan dadah di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong di sini bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun, cubaan lelaki berusia 54 tahun yang juga duda anak satu itu tidak berhasil apabila rumah sewanya diserbu polis kira-kira jam 12.50 malam pada Isnin lalu.

Menerusi serbuan Op Jihad Dadah 2.0/Op Tapis Khas 3.0 yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, polis merampas dadah syabu dan pil yaba bernilai hampir RM500,000.



Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris, berkata serbuan dilakukan susulan maklumat dan risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di dalam rumah suspek menemui pil yaba yang dianggarkan seberat 555.20 gram dan syabu yang dianggarkan seberat 13.20 kilogram dengan berat keseluruhan hampir 14 kilogram.

Katanya, pihaknya turut merampas wang tunai RM12,140 dan suspek yang positif methamphetamine mempunyai 19 rekod lampau berkaitan dadah.

“Semakan juga mendapati suspek dipercayai mula terbabit dalam dadah pada 1998 dan dia yang kini dalam perbicaraan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang di sini, hari ini.



Mohd Zain berkata, bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran di sekitar Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata, suspek yang bergerak solo dan menjadikan rumah sewa itu dijadikan tempat untuk memproses dadah sebelum dijual kepada pengedar.

“Hasil penelitian kita mendapati empat CCTV dipasang di rumah berkenaan dipercayai untuk mengesan kehadiran polis.

“Kita juga sedang menyiasat sama ada suspek ada hubungan dengan dua suspek yang ditembak mati di Kuala Terengganu pada awal April lalu.



“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 24 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39 B ADB 1952,” katanya.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading