Pihak berkuasa AS letupkan jambatan Baltimore

Oleh – Syeikh Baran


Pihak berkuasa AS letupkan jambatan Baltimore
PASUKAN pemusnah menggunakan letupan terkawal untuk meruntuhkan sebahagian Jambatan Francis Scott Key dan membebaskan kapal Dali semalam. – AFP

Pakar-pakar menggunakan bahan letupan semalam untuk mengalihkan bahagian sebuah jambatan yang runtuh di bandar Baltimore dan membebaskan kapal kargo yang terperangkap selepas merempuh struktur berkenaan Mac lalu.

Letupan terkawal itu akan membolehkan pekerja-pekerja membebaskan kapal kontena, Dali yang memiliki panjang hampir 300 meter.



Kapal berkenaan menyekat hampir semua akses ke pelabuhan Baltimore sejak enam minggu lalu. Ia merupakan antara pelabuhan terbesar di Amerika Syarikat(AS).

Jambatan Francis Scott Key musnah dalam masa hanya beberapa saat apabila kapal kargo mengibarkan bendera Singapura itu hilang kuasa dan merempuhnya.

Seramai enam pekerja binaan terbunuh dalam tragedi itu.

Pada bulan lalu, Presiden Joe Biden berjanji akan melakukan ‘apa sahaja’ untuk membina semula Jambatan Francis Scott Key dan berkata, sebuah laluan perkapalan baharu akan dibuka menjelang bulan ini.



Operasi menggunakan bahan letupan itu dilakukan sekitar pukul 5 petang (waktu tempatan). Ia mencetuskan asap tebal sebelum beberapa bahagian jambatan di Baltimore itu runtuh ke dalam laut.

Pasukan yang melakukan letupan itu berkata, serpihan lebih kecil jambatan itu akan dialihkan menggunakan beberapa buah kren, seterusnya membolehkan Dali dialih keluar dari kawasan selat tersebut. – AFP 

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button