Berhenti Dari Syok Sendiri Dan Keluar Dari Sindrom Penafian Sekiranya Mahu Kekal Relevan
Berhenti Dari Syok Sendiri Dan Keluar Dari Sindrom Penafian Sekiranya Mahu Kekal Relevan
Pemimpin UMNO di setiap peringkat sering mendakwa bahawa parti UMNO adalah parti bangsa Melayu terbesar di Malaysia.
Mereka juga sering berkata bahawa parti UMNO adalah parti keramat bangsa Melayu.
Orang Melayu, dulu, kini dan selamanya tidak akan pernah melupakan jasa UMNO terhadap mereka.
Apakah benar dakwaan pemimpin-pemimpin UMNO tersebut.
Benar, antara parti yang berteraskan bangsa Melayu, UMNO boleh dinobatkan sebagai parti terbesar bangsa Melayu di Malaysia.
Tetapi, adakah bilangan ahli UMNO boleh dijadikan jaminan kepada sokongan bangsa Melayu terhadap UMNO dalam setiap pilihanraya?
Begitu juga dengan dakwaan bahawa parti UMNO adalah parti keramat bangsa Melayu.
Namun begitu, pernahkah dibuat kajian yang jujur apakah kekeramatan UMNO sebagai parti orang Melayu masih ada atau sudah hilang?
Keputusan PRN di 6 buah negeri memberikan jawapan jelas dan terkini kepada pemimpin UMNO.
Infografik di atas ada jawapannya terhadap persoalan-persoalan tersebut.
Di Kelantan, UMNO hanya mampu memenangi 1 kerusi DUN, di Negeri Sembilan pula, UMNO hanya mampu memenangi 14 kerusi DUN dan di Selangor hanya memenangi 2 kerusi DUN.
Penulis tidak sertakan jumlah kerusi DUN yang UMNO menang di Kedah dan Terengganu kerana UMNO tidak memenangi sebarang kerusi DUN di sana.
Keluar Dari Zon Penafian
Pesan orang-orang tua, mati itu bersebab dan sakit itu berpunca.
Tetapi sekiranya kita gagal atau hilang punca dalam mencari punca kepada penyakit yang kita hadapi, maka kita berhadapan dengan kematian di mana penyakit itu yang menjadi puncanya.
Begitu juga dalam mengubati UMNO, penyakit yang sedang menyerang UMNO pasti mempunyai puncanya.
Tetapi sejak UMNO kehilangan kuasa pada PRU 14, pemimpin UMNO sering mengatakan fitnah dari musuh UMNO yang menyebabkan UMNO tewas.
Betul, musuh UMNO melemparkan fitnah yang maha dahsyat terhadap pemimpin UMNO.
Mereka juga gunakan pelbagai strategi politik kotor untuk membunuh UMNO.
Rakyat dihasut, naratif bahawa UMNO adalah parti sekular yang membelakangkan hukum Allah SWT ditanamkan kepada rakyat dan pelbagai lagi.
Tetapi apa yang kepimpinan UMNO lakukan untuk meneutralisasikan serangan musuh?
Apakah mesej dan penerangan yang diberikan dalam menjawab isu, sampai ke semua peringkat masyarakat?
Atau ia hanya sekadar berlegar di kalangan rumah agam UMNO sahaja?
Budaya Feudal & Angkuh Yang Memualkan
Pada pengamatan penulis, kecuali Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan, majoriti pemimpin UMNO sering memperlihatkan watak sombong apabila muncul di hadapan rakyat.
Penulis pernah nyatakan, kenapa DS Najib boleh membuat ‘come back’ dalam masa yang cukup singkat.
Dari seorang yang sangat dibenci, beliau berjaya menjadi figura yang sangat disayangi oleh jutaan rakyat.
Ini adalah kerana, ketika beliau membuat ‘come back’, beliau mempamirkan sikap pemimpin yang ‘down to earth’.
Rakyat didekati, dijabat, dilayan dan didakap dengan penuh keikhlasan.
Apabila berada di tengah-tengah rakyat, sebaik mungkin beliau akan menumpukan perhatian kepada setiap keresahan rakyat.
Benar, beliau berasal dari golongan bangsawan, tetapi, dalam masa yang sama beliau menyedari, takkan hilang bisa ular sekiranya menyusup di bawah akar.
Inilah yang tidak ada pada pemimpin UMNO di setiap peringkat sekarang ini.
Lebih memualkan apabila pemimpin UMNO menunjukkan sikap yang tidak boleh ditegur.
Sanggup bertegang urat untuk membidas hujah lawan ketika muncul di khalayak ramai.
Sikap sebegini sebenarnya hanya mempamerkan kesombongan diri yang cukup tinggi dan yang terpalit adalah UMNO.
Masih Berlapang Dada Dengan Musuh Dalam Selimut, Tetapi Memencilkan Pejuang Sebenar
Presiden UMNO dilihat masih lagi ‘berhusnuzon’ dengan beberapa saki baki pengkhianat di dalam UMNO.
Walau pun sudah beberapa kali mereka sudah menampakkan ‘their true colour’, tetapi presiden UMNO masih lagi berlapang dada.
Cuba tanya Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri.
Berapa kali mereka turun berkempen dan membantu jentera dalam PRN 6 negeri?
Juga tanyakan kepada mereka, berapa kali mereka turut hadir dalam Grand Finale Perpaduan?
Soalan yang paling tepat, adalah, apakah sumbangan mereka kepada UMNO dalam PRN 6 negeri.
Benar, prsiden dan MKT UMNO tidak boleh mengambil tindakan keras kerana mereka dipilih bukan dilantik.
Tetapi kenapa tidak diambil tindakan yang lebih berhemah untuk melemahkan mereka, seperti sejuk bekukan mereka dari segala keputusan dan perbincangan.
Melantik Orang Yang Salah Untuk Jawatan Penting
Penulis agak hairan, mengapa DS Zahid menggantikan Isham Jalil dengan Azalina sebagai Ketua Penerangan UMNO.
Bukan penulis mengatakan Azalina tidak layak, beliau lebih dari layak.
Tetapi dengan jawatan sebagai Menteri Undang Undang & Reformasi Institusi, Azalina mempunyai waktu yang terhad.
Azalina sebenarnya lebih sesuai dilantik sebagai Biro Disiplin UMNO kerana beliau mempunyai latarbelakang dan pengetahuan undang-undang yang baik.
Bukankah DS Zahid pernah melakukan kesilapan kerana melantik Shahril Hamdan sebagai Ketua Penerangan UMNO?
Pemimpin UMNO di setiap peringkat mesti berhenti dari syok sendiri dan keluar dari sindrom penafian dengan segera.
Sekiranya tidak, pada pengamatan penulis, UMNO akan berkubur dalam tempuh 2 pilihanraya umum lagi.
Berhenti Dari Syok Sendiri Dan Keluar Dari Sindrom Penafian Sekiranya Mahu Kekal Relevan
Di Syorkan Untuk Anda:
- PRN 6 Negeri: Anak Muda Sudah Bersuara
- Roh Roh Roh, Neh Neh Neh, Air Paip Kelantan Yang Keruh, Tak Jernih Jernih
- Halim Saad Heret Mahathir Ke Mahkamah