Makam Tun Mamat terbiar sepi

 KAWASAN perkuburan lama yang berpagar ini dipercayai menempatkan Makam Tun Mamat di Parit Sulong, Batu Pahat, Johor.

Rohana Man

PARIT SULONG – SEBUAH kawasan perkuburan lama yang terletak di kaki Bukit Inas dekat sini dipercayai menjadi lokasi makam pembesar Kesultanan Melayu Melaka, Tun Mamat.



Jalan masuk ke kawasan itu menempuh Kampung Kangkar Merlimau, Jalan Yong Peng – Parit Sulong dan boleh menggunakan aplikasi Google Maps untuk sampai ke sana.

Siapa Tun Mamat? Mungkin generasi K-Pop tidak mengenalinya. Namun mereka yang pernah menonton teater atau filem mengenai puteri tersebut, pasti menemukan watak Tun Mamat.

Mengikut Sejarah Melayu, kejelitaan Puteri Gunung Ledang membuatkan Sultan Mahmud Shah mahu menjadikannya sebagai isteri.

Baginda telah mengutus dua pembesar iaitu Laksamana Hang Tuah dan Tun Mamat ke Gunung Ledang untuk urusan peminangan.



Beliau menjadi pembesar sehingga ke detik akhir kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511. Empayar Melaka bertahan selama 111 tahun iaitu dari 1400 hingga 1511.

Carian maklumat di Internet mendapati Tun Mamat terpaksa berundur dari Kota Melaka dengan membawa pengikut dan kerabat Istana Melaka bagi melindungi mereka daripada serangan dan ancaman penjajah.

Walaupun pahit untuk ditelan menyaksikan runtuhnya Kota Melaka, Tun Mamat berundur menggunakan jalan air iaitu menyusuri Sungai Simpang Kiri.

Ketika mudik ke hulu sungai, beliau akhirnya berhenti rehat dan kemudian bermukim dekat sebuah kawasan di tepi sungai tersebut yang kini merupakan sebahagian daripada kawasan Parit Sulong.



Makam Tun Mamat terletak beberapa meter dari tebing Sungai Simpang Kiri dan kini berada di tanah wakaf dalam bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Johor.

Perkuburan ini terletak jauh dari penempatan penduduk dan dikelilingi kebun.

Memandangkan tidak ramai tahu kewujudannya maka Makam Tun Mamat seolah sepi tanpa pengunjung.

Mungkin lebih elok begitu kerana bimbang pula kubur-kubur lama di situ disalahguna dan dijadikan tempat pemujaan.



Kawasan perkuburan lama itu menempatkan enam kubur dan ditandai dengan batu nisan Pasai/Aceh.

Empat daripada makam tersebut berada dalam kawasan berpagar termasuk dipercayai milik Tun Mamat, manakala dua makam lagi berada sekitarnya tanpa berpagar.

Bagaimanapun sehingga hari ini tiada pihak tampil mengesahkan makam tersebut milik Tun Mamat.

Sebaliknya, semua maklumat mengenai Makam Tun Mamat diceritakan dari mulut ke mulut sejak zaman berzaman.



Namun apa yang pasti, tinggalan batu nisan Pasai/Aceh di kampung tersebut menjadi bukti adanya tinggalan lama dari zaman Empayar Melaka.

Kepahlawanan Tun 9Mamat kini diabadikan pada nama sebuah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat di Tangkak, Johor.

Info terkini pula menunjukkan Makam Tun Mamat ada dalam Google Maps 2022 yang menanda Makam Tun Mamat, pembesar kerajaan Melayu Melaka.

BAGAIMANA KE SANA?



Terdapat dua jalan yang boleh anda ikuti dari Parit Sulong iaitu ikut Jalan Parit Talib.

Jalan ini akan membawa kita menempuh Bukit Capal, Bukit Kalong dan seterusnya Kalnas.

Jalan satu lagi adalah mengikut Kampung Kolam Air.

Cari jalan menuju ke Parit Laman dan selepas jambatan, lihat sebelah kiri jalan yang terdapat bukit.

Di sebelah kiri, terdapat papan tanda arah ke kilang Wak Dakam.Ikut lorong itu dan antara dua hingga tiga kilometer, kita akan sampai ke kawasan perkuburan lama yang menempatkan Makam Tun Mamat, iaitu di sebelah kanan jalan kampung berturap.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading