Menyimpan diesel tanpa lesen, pemandu lori didakwa

 

Oleh Pena Merah

Menyimpan diesel tanpa lesen, pemandu lori didakwa
Jason Ng Khai Chong mengaku tidak bersalah menyimpan minyak diesel tanpa lesen.

Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan menyimpan minyak diesel tanpa lesen sah tahun lalu.

Tertuduh, Jason Ng Khai Chong, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam sejurus dibacakan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.



Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa mempunyai dalam kawalannya barang kawalan berjadual, iaitu bahan api diesel berjumlah 3,025 liter yang disimpan dalam lori dan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan 31(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pam Diesel No. 7, Stesen Minyak Wisdom Merchant Enterprise, PS Bachang, dekat sini pada 5 November 2023, jam 11.11 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Berikutan tertuduh tidak mengaku bersalah, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, sementara menunggu perbicaraan selesai.



Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan dikurangkan, atas alasan menanggung ibu bapa yang berusia dan emak saudara orang kurang upaya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dan kes untuk sebutan semula pada 20 Mac depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh membayar jamin berkenaan.

-Berita Harian-




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading