Catherine Wilson memfailkan cerai
Oleh Pena Merah
JAKARTA: Akibat tiada persefahaman, pelakon, Catherine Wilson memfailkan cerai terhadap suaminya yang juga ahli politik, Idham Mase.
Permohonan tersebut dibuat bintang Titisan Setan 2 itu di Mahkamah Agama Depok, Jawa Barat penghujung tahun lalu.
Menurut peguam, Dody Hariyanto, keputusan itu dibuat kerana pasangan suami isteri itu mendakwa perkahwinan mereka tidak lagi dapat diselamatkan.
“Pemohon mahu berpisah secara baik tanpa sebarang pertikaian dengan suaminya.
“Bagi Catherine, rumah tangganya sudah tidak dapat diselamatkan memandangkan dia dan suami tidak lagi tinggal sebumbung,” kata Dody.
Idham pada November lepas telah memfailkan cerai talak satu terhadap Catherine namun permohonan itu ditolak mahkamah.
Dalam pada itu, Dody memaklumkan hubungan Catherine dan suaminya kekal baik meskipun keduanya merancang untuk bercerai.
“Hubungan mereka normal, tidak putus hubungan. Keduanya masih saling bertanya khabar,” katanya lagi.
Catherine dan Idham berkahwin pada 1 Oktober 2022. Pasangan tersebut tidak mempunyai cahaya mata.
Pelakon itu sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Ahmad Muchlas Arofat namun bercerai pada 2014.
SUMBER – UTUSAN