#gengsubuhmacamjumaat di Shah Alam esok
Oleh : Pena Merah
SOLIDARITI yang diterjemahkan orang ramai terhadap gerakan #gengsubuhmacamjumaat membuatkan selebriti, Alif Satar tersentuh hati.
Pempengaruh ini bangga, kempen yang dianjurkan sejak penghujung tahun lalu berjaya mendapat sambutan menggalakkan.
Esok (Sabtu), kempen sama diteruskan dengan menyasarkan kehadiran lebih 10,000 penduduk sekitar Lembah Klang di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam (MSSAAS).
“Alif tak sabar sebab Imam Masjid Shah Alam, Sheikh Abdul Karim Omar al-Fatani akan mengimamkan solat Subuh nanti.
“Selepas solat berjemaah, kita akan berlari-lari anak (fun run) di sekeliling Tasik Shah Alam,” katanya mengenai kempen di masjid kedua terbesar di Asia Tenggara ini.
Kempen pada mulanya bermula dengan usaha sama Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Disember lalu, yang turut dihadiri oleh pempengaruh media sosial lain.
Kehadiran dua imam dari utara tanah air, Ustaz Firdaus Firabib mewakili Masjid Al-Busyra, Merbok, Kedah dan Ustaz Yaakub Yusra, Masjid Madad, Sungai Petani turut merancakkan lagi suasana kempen.
Idea itu kemudian merebak ke seantero dunia apabila anak-anak muda berbangga menayangkan plakad Challenge Accepted (cabaran diterima) usai menunaikan fardhu subuh.
BANGKIT LAWAN ZIONIS
Sedar tidak sedar, gerakan ini mula mencetuskan fenomena selepas serangan rejim Zionis terhadap penduduk Semenanjung Gaza, lebih 90 hari lalu.
Menyedari tiada usaha jihad lain yang boleh dilakukan, Alif berpandangan hanya mengimarahkan solat subuh sahaja mampu mengejutkan hati-hati umat Islam lain.
“Gerakan Subuh berjemaah ini bermula sewaktu saya menyertai kelas agama. Ketika itu, isu di Palestin sedang hangat dibincangkan.
“Ustaz yang mengajar ketika itu mempersoalkan adakah kita (umat Islam) menunaikan solat Subuh di masjid setiap hari?
“Jemaah yang hadir rata-rata menjawab tidak, dengan alasan mengantuk. Jadi saya rasa tercabar bila ustaz itu persoal bagaimana melawan Zionis sedangkan rasa mengantuk pun kita tak dapat lawan,” kongsinya.
Jiwanya lebih terkesan apabila mendengar sepotong hadis tentang ciri-ciri munafik yang membuatkan dirinya tersentak.
“Kalau orang panggil kita munafik, mesti kita rasa marah, nak tumbuk sahaja. Sedangkan, riwayat hadis sudah memberitahu tentang ciri-ciri munafik antaranya liat bangun subuh.
“Bila dengar hadis itu, hati seperti ‘ditembak’. Sampai terfikir, aku ini baru selesai tunai ibadah haji, tapi suruh followers buat senaman pukul 5.30 pagi kemudian baru solat Subuh.
“Jadi Alif perlu betulkan kitaran itu semula. Sebab itu, Alif mulakan gerakan solat Subuh berjemaah di masjid,” kongsinya.
CABARAN 40 HARI
Bagi memastikan saf solat Subuh tidak terputus selepas gerakan secara besar-besaran diadakan, Ketua Pentadbir Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Andi Mohd. Zulkhairi Muhamad akan menawarkan hadiah ganjaran istimewa.
Jelasnya, pihak masjid akan menganjurkan ‘Cabaran 40 Hari’ sebulan menjelang Ramadan khususnya kepada kanak-kanak dan remaja.
Ini tidak lain, agar momentum dan keterujaan untuk hadir ke masjid, lebih membuak-buak.
“Siapa dapat memenuhi kriteria tersebut, pihak masjid akan menawarkan ganjaran berupa basikal dan jam tangan.
“Ini juga adalah galakan buat mereka supaya dapat mengajak lebih ramai kawan dan ahli keluarga hadir ke masjid untuk solatberjemaah,” katanya.
Subuh bagai Jumaat sudah lama dianjurkan junjungan Besar Nabi Muhammmad SAW ketika zaman sahabat dan tabiin.
Sejajar gerakan itu, pengikut Alif di Instagram meningkat ke 3.5 juta. Malah, sebuah group di telegram turut dibangunkan dengan tanda pagar #SubuhSepertiJumaat yang diikuti hampir 15,000 orang.