Saya sudah hubunginya namun tiada sebarang jawapan – Baldev

Oleh Pena Merah

Saya sudah hubunginya namun tiada sebarang jawapan - Baldev

PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, S Baldev Singh, 61, sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada pelakon Aman Graseka yang didakwa mengalami kesukaran hidup sehingga terpaksa memohon bantuan kewangan daripada rakan artis.

Menurut Baldev, dia sudah menghubungi Aman selepas berita mengenainya dilaporkan pihak media namun tiada sebarang jawapan diterima.



“Saya hendak bantu Aman, saya sudah hubunginya namun tiada sebarang jawapan. Saya tak tahu apa masalah yang dihadapi sekarang.

“Saya hendak bantu supaya dia dapat cari kerja dan berdikari untuk keluarga. Saya bukan mahu tolong dengan beri sumbangan duit, tapi sediakan peluang pekerjaan kepada dia.

“Di mana pun dia berada, kita boleh minta kawan-kawan bantu. Tapi, kalau dia ada masalah di sebalik itu, saya tak tahu,” katanya,

Baldev berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di majlis tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas di TGV 1 Utama di sini, semalam.



Kali terakhir bekerjasama dengan Aman menerusi filem Jiwa 8 Belas pada tahun 2020, Baldev menyifatkan Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Seri Angkasa 1999 itu mempunyai etika kerja yang baik.

“Sepanjang bekerja, dia seorang pelakon yang sangat komited. Untuk filem Jiwa 8 Belas, bayaran dia saya sudah selesaikan dan tiada hutang. Dia habis sahaja penggambaran, saya terus berinya wang tunai.

“Saya memang sedih dengan apa yang jadi pada Aman. Pesan saya kepada Aman, bangkitlah. Kamu tak perlu meminta kepada sesiapa,” katanya.

Terdahulu, penyampai radio, Sharifah Shahirah memuat naik sebuah hantaran di Instagram memaklumkan Aman sedang mengalami masalah kewangan sehingga terpaksa meminta bantuan rakan artis untuk memberi makan kepada anak-anaknya.

Pelakon itu juga tidak kelihatan di majlis tayangan perdana filem Jiwa 8 Belas semalam walaupun undangan sudah diberikan penerbit.



Turut memeriahkan filem yang bakal menemui penonton pada 18 Januari ini A Galak, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Fauziah Nawi, Zila Bakarin, Shah Hazvee, Sophia Albarakbah, Izuan Ramli, Ikhram Juhari, Kanda Khairul, Akim Nordin, Faha Azhar, Arif Mex dan Acap S.

SUMBER – UTUSAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button