Taiwan tidak mungkin merdeka
Oleh Pena Merah
Diplomat tertinggi China, Wang Li dengan tegas menolak sebarang peluang kemerdekaan ke atas Taiwan.
“Taiwan tidak pernah menjadi sebuah negara, tidak pada masa lalu mahupun pada masa hadapan.
“‘Kemerdekaan Taiwan’ tidak pernah berlaku dan tidak akan mungkin berlaku,” kata Wang kepada pemberita di Kaherah, Mesir.
William Lai Ching-te daripada Parti Progresif Demokratik (DPP) yang memerintah memenangi pilihan raya presiden Taiwan dalam saingan tiga penjuru dengan memperoleh 40.5 peratus undian.
“Tidak kira apa pun keputusan pilihan raya, ia tidak akan mengubah fakta asas bahawa hanya ada satu China di dunia dan Taiwan adalah sebahagian daripada China, dan ia juga tidak akan mengubah konsensus umum masyarakat antarabangsa untuk mematuhi prinsip satu China,” kata Wang, menurut Kementerian Luar China.
Memetik laporan Agensi Anadolu, ia adalah kenyataan ketiga oleh Beijing sejak kemenangan Lai Ching-te Sabtu lalu.
Beliau menambah: “Sesiapa yang melanggar prinsip satu China adalah mencampuri hal ehwal dalaman China dan melanggar kedaulatan China, dan pastinya akan ditentang seluruh rakyat China dan juga masyarakat antarabangsa.”
Ulasan Wang dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken berkata: “Kami mengucapkan tahniah kepada Dr Lai Ching-te atas kemenangannya dalam pilihan raya presiden Taiwan. Kami juga mengucapkan tahniah kepada rakyat Taiwan kerana mengambil bahagian dalam pilihan raya yang bebas dan adil serta menunjukkan kekuatan sistem demokrasi mereka.”
Bagaimanapun, Presiden AS Joe Biden berkata Washington “tidak menyokong” kemerdekaan Taiwan, yang China anggap sebagai wilayahnya sendiri dan tidak menolak untuk menggunakan kekerasan untuk menyatukannya dengan tanah besar.
Taipei menegaskan kemerdekaannya sejak 1949.
Wang menyatakan 80 tahun lalu, China, AS, dan United Kingdom (UK) mengeluarkan “Deklarasi Kaherah,” yang “dengan jelas menetapkan bahawa ‘Taiwan, wilayah China yang dicuri oleh Jepun, harus dikembalikan kepada China.’
“Sesiapa sahaja di pulau Taiwan yang ingin mengejar ‘kemerdekaan Taiwan’ untuk memecah belah wilayah China akan dihukum seberat-beratnya oleh sejarah dan undang-undang,” Wang memberi amaran.
Beliau berkata percubaan untuk kemerdekaan Taiwan “serius mengancam kesejahteraan rakan senegara Taiwan.”
“Ia adalah jalan buntu… China akhirnya akan mencapai penyatuan semula sepenuhnya dan Taiwan akan kembali ke tanah air,” kata Wang.
Sementara itu, delegasi AS “tidak rasmi” termasuk bekas penasihat keselamatan negara Stephen Hadley tiba di Taiwan untuk “rundingan pasca pilihan raya.” – AGENSI
-Berita Harian-