Stadium Al Janaoub bertukar jadi Stadium Nasional
Oleh – Syeikh Baran
Macam berada di Stadium Nasional, Bukit Jalil!
Itu gambaran yang boleh diberikan mengenai suasana di Stadium Al Janoub selepas kumpulan Ultras Malaya tiba di stadium terbabit.
Seperti biasa, kehadiran ‘Ekor Harimau Malaya’ itu menggamatkan suasana dan menaikkan semangat dengan gelagat mereka bernyanyi sebelum memasuki ke stadium.
Selain kumpulan Ultras Malaya, sebahagian penyokong Malaysia yang lain turut berkumpul dan menyanyi bersama menjelang aksi pertama Malaysia di Piala Asia berdepan Jorda, jam 1.30 pagi nanti.
Malah, pelbagai gelagat penyokong turut dapat disaksikan dengan ada di antara mereka mengenakan busana baju Melayu, sekali gus menarik perhatian orang ramai di stadium.
Irsyad Ifwat Abdul Rahim menjelaskan tindakannya memakai baju Melayu adalah bagi mempromosikan budaya Malaysia di mata dunia.
“Saya hanya datang untuk sokong Malaysia dan pada masa yang sama niat nak memperkenalkan budaya Malaysia di mata dunia sebab Piala Asia membabitkan negara di serata Asia.
“Jadi kita nak tunjukkan apa itu budaya Malaysia yang sebenarnya termasuk dari segi pemakaian. Apabila orang nampak kita, orang tahu kita dari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, suasana di dalam stadium tidak kurang juga hebatnya walaupun jumlah penyokong Harimau Malaya tidak seramai seperti di Stadium Nasional, Bukit Jalil.