Warga Perancis ditahan seludup kokain 6.137 kilogram
Oleh Pena Merah
Seorang warga Perancis ditahan selepas disyaki membawa dadah jenis kokain seberat 6.137 kilogram bernilai RM1.22 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9 Januari lalu.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit III KLIA, Wong Pun Sian berkata, suspek ditahan hasil maklumat risikan selepas tiba di balai ketibaan antarabangsa pada pukul 5.46 petang.
Katanya, suspek didapati telah menaiki penerbangan dari Sao Paolo, Brazil dan transit di Doha, Qatar sebelum tiba di KLIA pada hari berkenaan.
“Hasil semakan teliti sepasukan pegawai JKDM dari Cawangan Pemeriksaan Penumpang Terminal 1, suspek disyaki membawa dadah berbahaya dimuatkan dalam bagasinya.
“Susulan itu, pemeriksaan rapi setelah pengimbasan dilakukan menemui tujuh kotak barangan kosmetik yang mengandungi bongkah pepejal seperti berbentuk sabun,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, dengan rampasan itu JKDM percaya ia adalah bagi kegunaan bagi seramai 30,685 orang penagih dadah di negara ini.
Pun Sian berkata, modus operandi sindiket pada kali ini yang cuba menyorokkan dadah dalam kotak kosmetik tertentu untuk mengaburi pihak berkuasa dan membawa dadah berkenaan secara bagasi ‘handcarry’ dan mengembara bersendirian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup,” ujarnya.
-Utusan-