11 suspek dalang sindiket dadah terbesar di Sabah didakwa hari ini

 

Oleh Pena Merah

11 suspek dalang sindiket dadah terbesar di Sabah didakwa hari ini
Kenderaan polis yang membawa anggota kartel dadah terbesar di Sabah termasuk dalang utamanya seorang ahli perniagaan dan penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bergelar Datuk tiba di perkarangan Mahkamah Kota Kinabalu

Seramai 11 individu termasuk ahli perniagaan bergelar Datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah yang ditahan pada 25 Disember lalu, tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, pagi ini.

Semua tertuduh termasuk Datuk berusia 40 tahun yang memakai pakaian biasa itu dibawa menggunakan trak polis dan memasuki perkarangan mahkamah, 8.20 pagi.



Sepasukan polis dari pelbagai unit termasuk dari Bukit Aman turut berkawal di luar dan dalam mahkamah sebagai kawalan keselamatan.

Dua sekatan jalan raya oleh pasukan polis turut didirikan berhampiran simpang masuk mahkamah, bermula kira-kira 6 pagi.

Prosiding dijalankan di Mahkamah Sesyen 3.

Difahamkan juga, pendakwaan terhadap semua tertuduh dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.



Media sebelum ini melaporkan polis menahan ahli perniagaan bergelar Datuk yang mendalangi sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah dalam siri serbuan.

Lelaki berusia 40 tahun itu turut menaungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi melindungi kegiatan haramnya sejak 2015.

Sindiket berkenaan juga dikesan melakukan pengubahan wang haram melalui pelbagai perniagaan mewah yang dijalankan ahli sindiketnya termasuk syarikat minyak dan gas serta rangkaian restoran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebelum ini berkata, ketua sindiket itu antara 10 individu ditahan JSJN Bukit Aman dan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna pada jam 2.30 pagi.



-Berita Harian-

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button