Pemandu trak diberi gelaran ‘Barbie Romania’
Oleh Pena Merah
Seorang pemandu trak berusia 35 tahun digelar ‘Barbie Romania’ kerana sering mengenakan busana berwarna merah jambu dan bergerak dengan trak yang keseluruhannya dihiasi rona serupa.
Lapor Oddity Central, pemandu trak wanita jarang ditemui, tetapi Georgeta benar-benar menyerlah dengan pakaian serta trak merah jambunya bersama personaliti yang sangat ceria dan penuh warna-warni.
Barbie Romania itu tular selepas gambarnya berdiri di hadapan trak berwarna merah jambu mula tersebar di media sosial awal minggu ini.
Wanita itu memandu trak sejak 12 tahun lalu dan bekerja di Sepanyol tetapi kembali ke Romania baru-baru ini, membeli trak untuk mula bekerja sendiri.
Georgeta menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mengubah trak tersebut menjadi ruang yang selesa dan mencerminkan minatnya terhadap warna merah jambu.
Berasal dari Craciunelu di daerah Alba di Romania, Georgeta menghabiskan hari-harinya dengan memandu di seluruh negara dan sering memuat naik video di saluran TikTok bersama dua kucing peliharaannya Norocel, dan Pisy.
“Apabila saya mula-mula memandu trak, saya memotong rambut pendek, membeli pakaian lelaki dan apabila saya muncul ke tempat kerja, seorang lelaki memanggil saya Buddy.
“Ketika itulah saya terfikir menukar gaya saya. Setiap wanita perlu ingat dia perlu membawa personaliti seorang wanita tanpa mengira profesionnya, dia perlu tampil rapi pada setiap masa,” kata Georgeta.
-Utusan-